Monday 26 September 2011

Kejayaan berasaskan sasaran


Sebuah kejayaan tidak datang dengan begitu mudah. Ada fasa yang dinamakan fasa persediaan sebelum sebuah kejayaan itu muncul. Sebelum Sebastian Coe berjaya berlari 800 meter dalam masa kurang dari 1 minit 42 saat, beliau telah lama bersedia dengan mengadakan latihan demi latihan. Mencapai sasaran demi sasaran. Sasaran yang besar dipecahkan menjadi sasaran-sasaran kecil yang dapat dicapai dalam masa yang pendek. Sifat sebuah kejayaan ialah berdikit-dikit lama-lama jadi bukit.

Setiap kali aku ke gymnasium (gym) untuk senaman, aku memilih mesin langkah (step machine) kerana di situ telah ditetapkan waktu 30 minit. Biasanya dalam waktu 10 minit pertama, badanku sudah mula berpeluh. Itu sasaran yang cukup baik sebelum melangkah ke sasaran 45 minit dan seterusnya 60 minit. Selagi sasaran 30 minit itu belum tercapai aku tidak akan berhenti melangkah, ada layar yang memaparkan angkanya menurun setiap kali aku melangkah seolah-olah memberikan kata-kata perangsang untuk teruskan perjuangan kerana sasaran sudah hampir tercapai. Sudah lebih setahun aku melakukan ini kerana inginkan badan yang sehat. Sudah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 6 kilogram dan menuju ke berat badan ideal melalui formula (berat semasa)/(tinggi x tinggi), berat dalam kilogram dan tinggi dalam sentimeter. Nilai berat ideal perlu berada antara 23 hingga 25 bagi lelaki dan antara 20 hingga 22 bagi wanita.

Perjuangan melawan diri sendiri sangat berguna kerana kita tidak bersaing dengan orang lain. Sama juga dengan permainan boling yang berdasarkan angka jatuhan pin balingan sendiri. Selesai setiap permainan kita akan terus mendapat “feedback” tentang pencapaian kita. Suatu sistem yang sangat berkesan bagi mengukur pencapaian. Suatu permainan yang boleh bermain bersendirian dan menilai sendiri pencapaian kendiri. Semuanya berdasarkan satu angka sasaran. Ketika mewakili Universiti Putra Malaysia dalam boling sekitar tahun 1980an, sasaranku bagi setiap permainan ialah 180 jatuhan pin. Latihan demi latihan dilakukan bagi mencapai dan mengekalkan sasaran itu. Kejayaan yang paling manis ialah mencapai jatuhan pin 275 pada sebuah pertandingan di Pyramid Megalanes, sayangnya aku tidak pernah mencapai sasaran 300 jatuhan pin pada mana-mana permainan.

Setiap apa yang kita lakukan, kita perlu meletakkan sasaran terlebih dahulu. Mulakan dengan satu sasaran yang mudah dicapai dan mudah diukur. Biasanya yang mudah dicapai dan diukur ialah dalam bentuk angka. Misalnya, “hari ini aku menghasilkan satu tulisan dalam tajuk kreativiti sepanjang 3 mukasurat”. Nyatakan sasaran anda dalam bentuk ayat positif, jelas dan boleh diukur. Jangan bertangguh dalam melaksanakan aktiviti yang anda sasarkan itu kerana musuh utama kejayaan ialah sifat suka bertangguh. Jika sasaran itu terlalu berat, kurangkan sedikit. Jangan hanya menetapkan sasaran tetapi tiada tindakan. Minta kawan baik anda membantu mengingatkan anda tentang sasaran anda itu. Saling membantu antara kawan-kawan sangat bermakna dalam mencapai sesuatu sasaran.

Sasaran sebuah organisasi boleh ditetapkan pada awal tahun,dan dipantau setiap 3 bulan sekali apakah sasaran yang ditetapkan itu tercapai. Waktu mahasiswa dulu, ketika memimpin beberapa persatuan, kami mengadakan mesyuarat pertama setiap tahun dengan agenda kegiatan tahunan dan terus menetapkan sasaran utama tahun berkenaan. Kami suka menggunakan “Network Planning” bagi menetap dan menggambarkan sasaran dalam bentuk rajah dan boleh dilekatkan ke dinding pejabat persatuan. Cara ini memudahkan kita ingat apakah sasaran jangka pendek dan jangka panjang. Kini banyak sistem komputer yang dapat membantu kita dalam menyusun kegiatan organisasi dan juga kegiatan pribadi, lengkap dengan kemudahan sms bagi mengingatkan semua AJK tentang sesuatu “event” yang akan berlaku.

Semoga kita berjaya mencapai cita-cita menjadi muslim yang kamil dengan menetapkan sasaran demi sasaran sebagai persiapan kepada kejayaan.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 27 September 2011.

Sunday 11 September 2011

Jangan lari kalau pelita tak lari


Nak tergelak sendiri bila teringat telatah PakSu Tayeb. Lucu dan bersahaja. Dulu ketika kecil, kami duduk dalam satu bulatan dan bersedia betul nak dengar cerita lucu PakSu Tayeb. Cerita yang paling kami takut ialah cerita hantu dan waktu bercerita pula malam. Waktu itu mana ada letrik, jadi ke mana-mana kami bawa pelita minyak tanah. Mencacak bulu roma bila PakSu memulakan cerita. Sayangnya ruangan ini bukan untuk cerita seram tapi hanya untuk bernostalgia tentang itu saja. Jika anda peminat cerita seram banyak tulisan yang ada kaitan dengannya di ruangan yang lain.

Pekan Kg Lalang sudah dikira mati apabila magrib menjelang. Masing-masing akan pulang ke rumah atau kalau ada kenduri arwah kita akan berkumpul di rumah berkaitan. Cara berkomunkasi pula melalui bercerita dalam kelompok kecil. PakSu Tayeb ketika itu tinggal di Kg Baru, bersebelahan dengan rumah abang sulungku. Sekarang mungkin sudah tidak ada semacam “halaqah” kecil untuk bercerita penglipur lara sebab masing-masing sudah sibuk dengan facebook masing-masing. Atas alasan itu aku menulis cerita-cerita pendek ini sebagai kenangan.

Abangku pula yang nama sebenarnya Azmi, mendapat gelaran di kalangan orang kampong sebagai Awang Bandung. Mengikut cerita, ayahku yang bernama Abdullah dipanggil Che Nuh, jadi kalau ada yang bertanya tentang Awang abangku itu, orang akan berkata Awang Che Nuh. Ada juga mereka yang sebaya dengan ayahku memanggil ayahku sebagai Bang Nuh. Kalau mereka ingin bertemu dengan abangku, mereka akan sebut Awang Bang Nuh. Lama kelamaan susah sangat nak sebut Bang Nuh, katanya mereka meringkaskan menjadi Bandung. Maka, menurut yang empunya cerita terjadilah nama Awang Bandung itu. Wallahu A’lam.

PakSu Tayeb kalau berbelanja ke kedai di Kg Lalang akan singgah ke rumahku dan ketika itulah kami mendesak PakSu Tayeb untuk bercerita macam-macam. Jarang sekali PakSu menolak permintaan kami, apa lagi kalau kami “jek” dia sikit dengan mengatakan cerita PakSu bestlah… Beliau pun akan mula bercerita dan kami yang kecil-kecil ketika itu berasak-asak dan berhimpit-himpit nak dengar cerita PakSu. Aku mengambil kesempatan ke dapur meminta kakakku menyediakan kopi untuk PakSu, kalau tak PakSu akan cepat mengantuk. Kami buat kopi “keras” buat PakSu biar matanya celek dan meneruskan ceritanya.

“Kalau Nampak hantu….”, belum sempat PakSu meneruskan cerita kami dah bertempiaran mendekati PakSu, ketika itu PakSu hanya tersenyum, sambil meneruskan gulungan rokok “chor”nya beliau membetulkan duduknya sambil akan meneruskan bicara. Rokok “chor” ialah rokok daun yang tembakau digulung di dalamnya. Sesekali dia menghidupkan pemetik api bagi menyalakan rokok “chor”nya itu dan meneruskan ceritanya sambil menyedut rokok “chor”nya yang baru dihidupkan.

“Waktu itu kalu mu pegang pelita ni ….. “ sambil beliau memegang dan menunjukkan pelita minyak tanah yang masih menyala kepada kami, “… jangan lari kalau pelita ni tak lari…” PakSu meneruskan bicaranya. Kami pun mengangguk-angguk mengiyakan nasihat PakSu Tayeb itu. Lawak sungguh PakSu ni fikirku. Mana ada pelita nak lari sendiri kalau kita tak bawa dia lari. Sebab itu aku selalu nak tergelak bila teringat pesanan PakSu Tayeb yang ini.

Dalam serius bercerita tentang hantu, dia buat lawak pula. Lawaknya pun betul juga, supaya bila ternampak kelibat hantu jangan cepat-cepat nak lari sebab belum tentu hantu, mungkin ada ayam yang tidur atas pokok kopi terjaga bila kita lalu di bawahnya. Juga, mungkin ada musang yang sedang mengendap ayam dalam reban.

Aku selalu berdoa agar jangan dijumpakan dengan hantu sebab takut tak cukup padang nak berlari, lagi pula aku tak pernah jumpa hantu pun seumur hidupku dan selalu mohon kepada Allah agar jangan dijumpakan dengan hantu. Ayahku pernah bercerita dia ternampak hantu tergantung di pokok besar, kecut juga aku mendengar cerita itu.

Setiap kali aku pulang mengaji dari rumah Kak Mah yang terletak kira-kira 700 meter dari rumahku, aku mula perjalanan dengan membaca tiga kul, “qul huwallahu ahad”, “qul aun zubirabil falaq” dan “qul aun zubirabin nas”.

Itulah sedikit kenangan dengan arwah PakSu Tayeb, ayah kepada Bang Deris sahabat karib abang Ahmadku.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 11 September 2011.

Friday 9 September 2011

Panggung wayang Ma’nikam


Kalau anda ke Pekan Kampong Lalang sekarang, panggung wayang gambar (pawagam) Ma’nikam sudah tinggal tapak saja. Dulu ianya terletak pada kawasan sebelah kanan jalan tar ke Kampong Carok Bunting dari Pekan Kampong Lalang. Ditutup selepas beberapa tahun beroperasi. Berhampiran pawagam itu ialah tapak Pekan Selasa Kampong Lalang yang memanjang hingga ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) pada hujungnya.

Pada belokan akhir jalan selepas SRJKC, terletak sebuah Menaksah (Madrasah) yang telah diwakafkan oleh Datukku Abdullah, datuk sebelah emak untuk kegunaan masyarakat tempatan melakukan solat waktu berjamaah. Tahun-tahun 1960 hingga tahun 1963, pawagam dan Pekan Selasa masih berjalan rancak. Pada sebelah depan pawagam, menghadap ke jalan Kg. Lalang – Weng ketika itu berdiri indah sebuah rumah Banglo kepunyaan Tok Panglima, di depan rumah ada kedai barangan runcit dan sebuah kedai menjual getah kepunyaan Tok Panglima juga. Pawagam dan Pekan Selasa, tempat manusia berhimpun itu akhirnya mati tanpa aku mengetahui sebab musababnya.

Setiap jam Pekan Kg Lalang ditiupkan debu daripada Bas Baling Kulim Transport yang melalui jalan utama yang menghubungkan Weng, Charok Puteh, Batu Lapan di utara dan Kg Lalang, Siput, Terabak, Bongor dan terus ke Baling di sebelah selatan. Ada pula bas dari syarikat yang sama membawa penumpang dari Baling ke Kulim melalui Pulai, Kupang, Kuala Pegang, Kuala Ketil, dan Lunas hinggalah ke Kulim sebagai destinasi terakhir. Bas antara Baling ke Batu Lapan dan antara Baling ke Kulim masih beroperasi sehingga sekarang. Aku selalu menggunakan perkhidmatan bas ini kalau mau ke mana-mana dalam route yang dilalui bas tersebut. Aku kerap ke Baling, dan ketika belajar di Sekolah Sultan Badlishah selalu menggunakannya dari Lunas ke Baling dan kemudian ke Kampong Lalang ketika bercuti.

Kali ini aku ingin bercerita sedikit nostalgia pawagam Ma’nikam itu. Struktur bangunan pawagam itu sangat sederhana. Sebuah bangunan panjang satu tingkat dengan pentas yang memuat layar puteh sebagai skrin tayangan di bahagian hadapan panggung. Pada sebelah belakang bangunan ada bahagian yang memunculkan sebuah projector yang akan menayangkan filem pada malam-malam tertentu. Pentas itu juga digunakan untuk acara-acara sambutan yang lain. Panggung itu tidak ada aircon, hanya yang ada kipas untuk mengimbangi hawa panas dalam pawagam tersebut. Macam-macam jenis filem ditayangkan. Aku suka menonton filem Hindustan, terutama lakonan Dev Anand, Shammi Kapoor, dan Raj Kapoor. Heroin pula aku suka tengok lakonan Vijayantimala, Asha Parikh, dan Madhu Bala. Kalau cerita sedih akan terbawa-bawa hingga keluar pawagam.

Biasanya aku tak bayar tiket pun sebab PakSu Ahmad, adik ayahku yang jaga pintu pawagam. Bila filem hampir nak ditayangkan, aku berdiri dekat dengan pintu dan bila PakSu kernyit mata aku pun melompat masuk. Biasanya panggung tak penuh, jadi aku selesa memilih kerusi yang paling depan sekali, orang yang ada nombor tiket tak akan ganggu aku ketika itu. Kadang-kadang “free seating”, jadi yang masuk “free” macam aku taklah gelabah sangat.

Kalau filem Hindustan yang ada adegan berlawan pedang, sebaik saja hero keluar dengan menaiki kuda puteh, penonton memberikan sorakan yang gemuruh. Kami selalunya pasti hero akan menang. Kami juga selalu menunggu-nunggu kehadiran keretapi dalam filem Hindustan, sebab kalau tak ada keretapi seperti tak sah filem Hindustan. Ada juga tayangan filem Barat yang romantic dan perkelahian ala “cowboy”, adegan tembak menembak macam real. Beberapa tahun kemudian, semua itu hanya tinggal kenangan saja.

Aku masih ingat di sekitar tahun 1960, telah diadakan Peraduan Syarahan bulan bahasa di atas pentas pawagam. Aku masuk bertanding, mungkin kerana tidak ada calon lain yang boleh bercakap aku dapat tempat pertama. Happy sangat masa tu, tapi aku dah tak ingat siapa dapat nombor dua dan tiga. Sebenarnya aku masuk bertanding pun pakai hafal teks saja. Naik pentas, beri salam dan teruskan dengan hafalan yang telah aku sediakan beberapa minggu sebelumnya. Buatlah sedikit latihan depan guru dan kawan-kawan, tetapi gementar juga pada malam persembahan ucapan itu.

Pada hari Selasa sewaktu cuti sekolah aku membantu ayahku menjual cendol di Pekan Selasa Kampong Lalang. Aku buat tak kisah saja bila ada kawan-kawan sekelas perli. Nak malu apa, nak cari duit tambahan untuk membantu keluarga. Hari-hari lain masa cuti sekolah aku turut juga membantu ayah dan ibuku menoreh getah di kebun getah kami. Terisi juga masa cuti sekolahku dengan kegiatan-kegiatan yang bermacam-macam itu.

Sewaktu Sekolah Kebangsaan Siong diperbesarkan sekitar tahun 1960, kami menumpang kelas di rumah Tok Panglima. Waktu itu guru kelas kami ialah CikGu Abdul. Badannya gempal dan garang. Kami semua takut kalau dia mengajar. Dia akan tanya sifir, kalau tak ingat, kami akan berdiri atas kursi selagi tak ingat sifir yang dia minta disebut. Kini tak payah nak ingat sifir lagi sebab ada kalkulator. Tapi kalau ingat sifir fikiran jadi cergas dan cerdas sebab dengan sekali petik saja sudah dapat jawapan. Guna kalkulator mungkin lambat sikit.

Yang masih aku ingat kawan sekelas ialah Majid (selalu pakai pensil panjang), Che Omar, Siti Hajar (MakSu, adik bongsu Ibuku), Maryam Yaakob (kemudian jadi kakak ipar kerana berkahwin dengan abang sulongku), Rahmah, Mukri, Jamaluddin (anak Tok Panglima), dan Salmiah yang cantik sangat ketika itu. Pipinya kemerah-merahan dan kalau marah sangatlah manisnya. Sayang, dah ada “boyfriend” ketika itu, kalau belum ada “boyfriend” pun tak berani nak “tackle” sebab cantik sangat, takut-takut tak dilayan, malu pula nanti. Perasan dalam hati sajalah ketika itu. Akhirnya aku dengar Salmiah kawin dengan salah seorang guru sekolah rendah kami. Semoga berbahagia.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 9 September 2011.

Siapa menyelam paling lama

Aku paling malas nak pergi mandi di sungai ketika pagi hari persekolahan. Jarak rumahku dengan sungai hanya 200 meter. Sejuk pagi di kampongku sangat terasa, nak tunggu matahari memancarkan sinarnya bererti lambatlah ke sekolah. Kalau lambat berdiri atas kursilah jawabnya. Guru kelas kami sangat garang.Biasanya kami berderet-deret ke sungai pada waktu pagi, masing-masing dengan tuala dan kain basahan.

Kadang-kadang bila lupa tuala, dengan kain basahan sajalah kami ke sungai pagi-pagi itu. Tuala agak tebal, tetapi kain basahan tu nipis sikit dan dipakai ketika mandi sebab sungai ialah tempat awam. Kain sarung ku selimutkan ke tubuh dan berjalan ke sungai dalam kadar cepat sebab sejuk sangat. Apabila sampai di tebing sungai masing-masing akan berderet menghadap air sungai yang mengalir. Masing-masing dalam kesejukan dan tak mahu mulai mandi. Kadang-kadang ada teman-teman kami yang nakal, menolak kami ke sungai dan terpaksalah mandi walau pun kesejukan menggigil. Gosok badan ala kadar kemudian cepat-cepat naik dan balik rumah. Biasanya tak sempat nak pakai sabun badan pun, asal badan kena air, sudah selesai acara mandi pagi.

Sampai di rumah, pakai uniform sekolah dan terus jalan kaki ke Sekolah Kebangsaan Siong yang jaraknya dari rumah kami sekitar 900 meter. Kadang-kadang kerana dah lambat tak sempat makan pagi pun. Ada ketika aku terpaksa berkaki ayam sebab kasut basah atau ayah tak sempat nak beli kasut baru, al-maklumlah ketika itu wang susah sangat. Memotong getah, kerja harian Ayahku hanya dapat beberapa ringgit saja sehari. Bersawah padi dapatlah sedikit sebanyak mengurangkan perbelanjaan harian ayahku.

Dalam perjalanan ke sekolah, dalam malu-malu dan diam-diam aku menjengok juga ke deretan berek polis kot-kot terpandang Sofiah yang ku minati. Dia anak polis yang baru pindah dan cantik orangnya. Tak tahulah masa itu aku cinta ke atau saja-saja syok kat dia saja, atau dalam keadaan cinta monyet. Manalah tahu kot-kot boleh beriringan dengan dia ke sekolah. Tapi wajahnya termimpi-mimpi dalam tidurku dan ingatan terhadapnya tidak lekang ketika itu. Orangnya tinggi lampai, kurus, apabila bercakap nampak lesung pipit menghiasi pipinya dan nampak moden sikit, kami selalu gelar mereka orang luar, maknanya mereka datang dari luar kampong kami.

Hampir semua orang kampong kami adalah di kalangan suku sakat keluarga kami turun temurun. Kalau ada yang datang dari luar, kami namakan mereka sebagai orang luar. Ketika ku kecil, tak ramai pun orang luar datang ke kampong kami, sebab tak ada panggung wayang atau hiburan apa-apa pun. Sejak ku ke sekolah menengah wajah Sofiah sedikit demi sedikit hilang dari ingatan ku akibat tumpuan ku kepada buku-buku sekolah. Hingga sekarang pun aku tidak tahu di mana Sofiah berada.

Apabila loceng jam satu berbunyi, hatiku begitu gembira kerana sekolah dah tamat pada hari itu dan aku sungguh teruja menghadapi kegiatan petang bersama kawan-kawanku. Apa lagi selepas makan tengah hari kami bebas, untuk main terjun sungai.

Dari tepi sungai, kami mengambil sedikit jarak dan berlari deras menuju tebing sungai dan membuat “free fall”, mendentum badan kami menghentam permukaan air sungai. Air sungai memercik berbagai arah. Kami gembira sungguh. Kemudian, berlari-lari naik ke tebing dan mengulangi lagi acara tadi bergilir-gilir. Wajah masing-masing gembira dan bersungguh-sungguh. Air sungai cukup dalam untuk buat penerjunan bebas. Kadang-kadang kepala dulu menjunam dan kadang-kadang dengan badan saja. Macam Tarzan Johny Weismuller dalam filem Tarzan yang popular ketika itu.

Ada ketika aku dan kawan-kawan berlawan siapa selam paling lama. Bila kiraan satu, dua dan tiga dibuat kami pun menenggelamkan badan dan bertahan di bawah air selama yang boleh. Ketika itu aku mengambil kesempatan memerhatikan persekitaran dalam sungai yang sungguh jernih. Nampak jelas akar kayu dari pokok yang berada berhampiran lubuk tempat kami mandi itu. Pasir di bawahnya putih melepak dan ada batu-batu kecil di dasar lubuk itu. Kadang-kala ada ikan yang lalu lalang di depan kami, tak upaya nak tangkap sebab ikan menyelinap dengan pantas sekali.

Biasanya kami tak kira pun siapa yang menang, yang penting seronok mandi sungai. Lama-lama mata jadi merah sebab lama sangat membuka mata dalam air. Kira-kira sejam atau lebih sikit kami pun balik sebab malam nak pergi mengaji rumah Kak Mah pula. Lagi pula aku amat tak suka kalau yang datang menjemput kami di sungai itu ayahku sebab di tangan beliau tentu ada rotan yang hujungnya sudah berkecai. Aduh sakit sangat kalau kena tibai (pukul). Sesekali kena juga rotan, tak boleh nak elak sebab syok sangat main sungai sampai lupa nak balik rumah.

Waktu cuti hujung minggu, kami mula main agak pagi sikit. Aku dan kawan-kawan suka main kotak. Biasanya kami kutip kotak sigeret (cigarette) yang dibuang merata-rata setelah isinya habis diisap oleh pemiliknya. Kotak rokok John Players, dan lain-lain kami kumpul, ratakan dan ikat. Cara bermain ialah masing-masing pemain keluarkan sepuluh kotak dalam simpanan masing-masing dan susun kotak-kotak itu dalam satu barisan melintang. Dari garisan susunan kotak-kotak seperti keretapi itu, semua pemain membaling batu leper ke arah depan, siapa baling paling jauh dia yang mula lemparan. Kemudian yang dekat sikit dan seterusnya. Selalunya kami sasarkan kepala kotak, jika kena kepala kotak semua kotak sebaris itu dapat kepada pemain yang membaling tepat kena kepala kotak. Kalau batu kita hanya kena sebahagian daripada barisan kotak itu, kita boleh ambil daripada tempat yang terbalik oleh batu itu hingga kotak terakhir. Siapa yang paling banyak dapat mengumpulkan kotak dialah yang kaya. Pada sesi permainan berikutnya masing-masing akan membawa himpunan kotak masing-masing dan terus memulakan permainan. Lapangan permainan biasanya pada rumah yang halamannya luas dan panjang. Biasanya kami ikat himpunan kotak-kotak itu menggunakan getah gelang. Ada kalanya, pemain terakhir tak dapat bermain pun sebab semua kotak-kotak sudah dapat diambil oleh pemain yang pandai yang jalan lebih awal daripadanya.

Melalui system ini, yang pandai main akan dapat mengumpulkan kotak lebih banyak dan yang kalah terpaksalah merayau mencari kotak baru untuk memenuhi bank kotak masing-masing. Seronok juga main kotak ini sebab ianya memerlukan kemahiran membaling batu leper dengan tepat. Biasanya batu leper itu kita jatuhkan betul-betul di hadapan kepala kotak dan longsoran batu itu akan mengenai kepala kotak atau di belakang sedikit daripada kepala barisan kotak-kotak itu. Kalau mis kepala kotak bermakna tak dapat apa-apalah. Sebab itu kita selalu aim antara kepala kotak dan beberapa kotak selepasnya. Jadi taklah rugi sangat, jangan tamak sebab nanti rugi banyak pula nanti.

Insya Allah, permainan lain pula akan menyusul nanti.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 9 September 2011

Thursday 8 September 2011

Sesi ingat kembali


Waktu kecil memang aku bertenaga lebih. Paling aktif ketika umur antara 10 hingga 12 tahun mengharungi kehidupan kampong yang masih dipenuhi hutan. Paling seronok ketika cuti penggal atau cuti hujung minggu.

Ketika itu kami buat senapang dari buluh dan pelurunya dari buah jemaron, macam buah cherry, tapi keras sikit. Kadang-kadang kami guna kertas surat khabar yang dilumatkan menjadi kecil sehingga boleh masuk ke lubang buluh. Penolaknya pula dari buluh yang dikecilkan sehingga cukup-cukup masuk ke lubang buluh yang besar sikit. Biasanya aku pegang laras senapang dengan tangan kiri dan penolaknya yang sendat dalam buluh dengan tangan kanan. Kami pun memulakan aksi perang dengan berselindung di sebalik belukar.

Ada kejadian lucu yang sehingga hari ini aku tidak boleh lupa ialah ketika kami bermain perang-perangan sekumpulan orang yang sedang asyik bermain pakau, sejenis permainan daun terup lari bertempiaran, mereka sangka kami mata-mata (polis ketika ini). Ketika itu adalah satu kesalahan bermain pakau dengan taruhan wang, jadi mereka main secara sorok-sorok dalam belukar dan di bangsal-bangsal.

Ada ketika kami bermain lastik burung atau lastik apa saja sebagai permainan kampong, satu cabang berbentuk “Y” yang teguh dikikis elok-elok, ada pemegang dan pada dua ujung diikat sekeping getah yang agak panjang sebagai pemegang batu yang akan dijadikan peluru lastik. Rupanya kini kaedah lastik yang kami guna dulu dipakai oleh orang Palestin melastik Israel laknatullah.

Ketika aku asyik melastik burung, seseorang menangkap tanganku erat dan berkata, “Mari ke balai”. Dalam ketakutan aku meronta-ronta kerana belum pernah seumurku ditangkap polis.

“Awak yang lastik kena cermin kedai Cina ya”, tuduh mata-mata tadi. Rupa-rupanya batu yang aku guna untuk melastik burung melantun tinggi dan ketika jatuh terkena cermin atap kedai Cina yang berada pada deretan utama Pekan Kampong Lalang, kampong kami itu.

Apa lagi aku meronta-ronta dan minta maaf banyak-banyak pada mata-mata itu dan berjanji tak melastik lagi di kawasan berhampiran kedai-kedai.

Yang paling aku seronok ialah menembak ikan dengan senapang besi. Badan senapang dibuat daripada kayu, tetapi pelurunya besi, pada pangkal peluru panjang besi itu diikat dengan tali supaya peluru tak hilang dan boleh tembak lagi kalau tak kena. Hujung peluru dibuat tajam supaya bila kena ikan akan meletak pada badan ikan. Penarik peluru pula ialah getah yang diikat pada hujung senapa kayu itu. Bahaya permainan ini, kalau ayahku tahu tentu rotan panjang yang terselit di bahagian atas rumahku mendarat di kaki. Kerana degil beberapa kali rotan itu mendarat juga di kaki dan badanku.

Ketika bulan puasa dan kebetulan cuti sekolah, kami pindah buat sementara ke kawasan sawah ayahku. Jaraknya kira-kira 5 kilometer dari rumahku di Pekan. Di kawasan sawah ayahuku ada sebuah dangau (rumah kecil) yang dibina untuk tidur dan rehat ketika penat bekerja. Pada bahagian atas kawasan sawah ayahku ada sekitar 10 batang durian, beberapa pokok langsat, rambutan dan salak dan pada bahagian bawah barulah ada petak-petak sawah yang dikerjakan dengan bantuan kerbau.

Ketika itu aku suka sekali mencari ikan Karing (ikan laga) yang bersembunyi pada lopak-lopak sawah, kalau ada lopak yang berbuih putih pada ujung lopak itu pasti ada ikan Karing. Aku dengan cermat menanguk ikan Karing yang tak terdaya itu dan masukkan dalam sebuah bekas besar, nanti bila sampai di rumah atau di dangau aku pindahkan ke botol-botol kecil, satu ikan satu botol. Tak boleh ada dua ekor ikan Karing dalam satu botol sebab mereka akan bergaduh besar. Botol-botol itu dideretkan dan dipisahkan dengan sekeping kertas di antaranya. Bila kita nak lihat mereka berlawan kita angkat kertas itu dan mengembanglah ekor ikan Karing masing-masing menunjuk kekuatan masing-masing. Cantik sungguh ekor ikan Karing yang kembang penuh. Aku akan asyik beberapa ketika melihat perlawanan ikan karing sebelum dipanggil ibu atau ayahku untuk membantu mereka.

Biasanya apabila malam menjelang tiba, kegiatan harian aku dengan ibuku ialah bercerita pasal hari berkaitan. Ibuku akan meminta aku bercerita semua peristiwa yang aku lalui hari-hari berkaitan. Aku pun mulalah bercerita dari mula aku bangun tidur dan dengan bangganya menceritakan segala kejayaan dan kegagalan kegiatanku pada hari berkenaan sehinggalah aku akan tidur di samping ibuku untuk bercerita itu. Ada ketika ibuku menyampuk dengan bertanya itu dan ini, tetapi kerana penat bekerja ibuku akan tidur terlebih dulu. Aku tanpa menyedari ibuku sudah tertidur, meneruskan ceritaku hingga akhir. Kadang-kadang bila aku sedar ibuku sudah tertidur aku menamatkan ceritaku lebih awal.

Itulah yang ibuku lakukan setiap hari ketika aku akan tidur dan berterusan sehingga kami berpisah sementara ketika aku akan ke sekolah menengah. Apabila aku dewasa dan berpeluang membaca beberapa buku tentang pembelajaran, aku dapati kaedah ibuku ini hampir sama dengan kaedah refleksi, muhasabah, ingat kembali, simulasi dan beberapa kaedah yang hampir sama yang bertujuan agar kita ingat kembali peristiwa yang telah berlalu dan dengan cara itu mengukuhkan ingatan kita. Ketika itu manalah ibuku tahu tentang semua teori itu. Dia hanya ingin bersama anak kesayangannya sebelum melelapkan mata dan sementara menunggu mata terpejam diisi dengan kegiatan bercerita peristiwa harian. Kaedah ini dijalankan secara natural dan tidak dibuat-buat atau dirancang.

Rupanya kaedah ini pun aku gunakan ketika mempelajari matematik baik di peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan PhD. Biasanya kalau aku tidak tahu menyelesaikan sesuatu masalah matematik dan ternyata penyelesaian masalah itu ada dalam buku. Aku tidak menyalinnya tetapi membaca dan menutup buku itu dan cuba ingat jalan kerja dan menghayati kenapa begini dan kenapa begitu dari masaalah yang diselesaikan itu. Proses tutup-buka itu berlaku berulangkali sehingga aku betul-betul faham dan menghayati jalan penyelesaian masalah matematik itu. Aku namakan kaedah ini sebagai “Kaedah Selak” ketika menyampaikan kaedah ini kepada pelajar-pelajarku. Perkataan “Selak” kena baca dengan kaedah e biasa, bukan e tanda, kalau dengan e tanda akan jadi penahan pintu pula. Aku harap kaedah e tanda ini diaktifkan semula agar tidak keliru dalam sebutan perkataan.

Itulah sekelumit kisahku waktu kecil.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 9 September 2011.

Monday 5 September 2011

Antara cita-cita dan realiti

Waktu di sekolah rendah dulu, guru kelas selalu bertanya apakah cita-citaku pada masa depan nanti? Aku terus menjawab nak jadi Perdana Menteri. Setelah masuk sekolah menengah cita-cita itu berubah nak jadi Pendita. Kalau ditanya lagi ketika di universiti mungkin berubah lagi. Tetapi ketika di universiti jarang yang nak bertanya tentang cita-cita kita sebab mungkin mereka anggap hal itu dah tak relevan lagi.

Kenapa ianya berubah-ubah? Apabila meningati hal ini, aku selalu teringat dengan istilah pembetulan teknik (technical correction) yang terpaksa dibuat oleh kapal angkasa “discovery” atau lain-lain kerana setiap saat keadaan sekeliling berubah, kalau tidak dibuat pembetulan teknikal sasaran yang dituju sudah tentu tidak kesampaian. Begitu juga keadaannya jika kita mengemudi kapal besar di laut, atau menerbangkan pesawat terbang di udara nan luas ataupun memandu kereta di jalan, kita mesti membuat pembetulan teknikal agar tujuan yang kita inginkan tercapai.
Pada mulanya kita hanya meletakkan sesuatu supaya pertanyaan guru atau teman atau sesiapa saja terjawab. Namun, apakah jawapan itu tepat kita tak ambil kisah pun, sebab ketika itu kita tidak banyak maklumat bagi membantu mendapatkan cita-cita yang jelas dan faham apa yang kita katakan.

Cita-cita ialah suatu keinginan untuk kemajuan kendiri. Apa yang akan terjadi pada masa hadapan siapa pun tidak tahu. Kita hanya dapat membayangkan sahaja dengan suatu harapan. Kalau boleh kita bayangkan apakah yang akan kita buat ketika berumur 40 hingga 60 tahun. Juga, jika umur panjang hingga 80 tahun atau lebih, apakah yang akan kita lakukan. Membayangkan sesuatu pada hakikatnya tidak memerlukan apa-apa biaya pun, seperti juga mimpi yang tidak pernah kita bayar untuk bermimpi. Ianya datang secara percuma. Tetapi ramai yang takut bermimpi, kerana takut diperli orang jika mimpinya diketahui. Nanti takut ada yang kata, “Mimpi di siang hari”.

Kenapa kita takut untuk berfikir besar sehingga setinggi langit? Tak berani bercita-cita tinggi sebab takut tidak tercapai. Semuanya diselimuti dengan ketakutan demi ketakutan. Bilakah bangsa kita, bangsa Melayu akan mempunyai cita-cita besar? Sejak kecil lagi kita ditakutkan dengan berbagai cara. Ditakutkan dengan bermacam-macam jenis hantu. Walaupun hantu boleh dijadikan sebagai alat kawalan jauh, tetapi untuk jangka panjang situasi itu melemahkan bangsa sendiri untuk beberapa generasi. Tidak ada alasan logik diberikan agar hantu itu ditakuti.

Kita mesti bezakan antara angan-angan dan cita-cita. Angan-angan hanya sebagai pengantar atau pendahuluan kepada cita-cita. Pada awalnya mungkin kita berangan-angan untuk menjadi itu dan ini, tetapi apakah ianya nanti akan menjurus kepada cita-cita yang berpijak di bumi nyata? Cita-cita yang disertakan dengan arus tindakan yang nyata hingga tercapainya cita-cita itu atau tercapainya tujuan yang kita dambakan. Kalau tidak cita-cita hanya tinggal cita-cita tanpa suatu gerakerja konkrit menuju kepada apa yang dicita-citakan.

Sebaiknya cita-cita dikaitkan dengan minat kerana apa yang kita ingin jadi ketika umur kita antara 40 hingga 60 tahun hendaklah sesuatu yang kita suka buat kerana biasanya cita-cita erat kaitannya dengan apa yang kita minat.

Secara logiknya, cita-cita ku untuk menjadi Perdana Menteri sudah tersasar jauh kerana pada umurku 62 tahun aku belum pun terlibat secara aktif dengan mana-mana pertubuhan siasah atau politik. Tetapi cita-cita ku untuk menjadi pendita atau istilah sekarang professor sudah berada pada landasan. Pendidikan ku dalam matematik menyatakan jarak terpendek antara titik A hingga ke titik B, adalah garis lurus, tetapi dalam politik atau sosial jarak terpendek belum tentu suatu garis lurus, mungkin jarak terpendeknya berbentuk lingkaran atau setengah lingkaran. Itu suatu kenyataan.

Melahirkan suatu cita-cita menjadi kenyataan mestilah melalui pengetahuan. Cari maklumat sebanyak-banyaknya agar apa yang kita cita-citakan itu benar-benar kita fahami dan sesuatu yang sesuai dengan naluri jiwa kita. Suatu minat yang kita dampakan. Suatu pekerjaan yang kita suka buat bukan kerana terpaksa tetapi kerana minat yang mendalam terhadap pekerjaan itu.

Ramai pelajar berada pada persimpangan apabila hendak memilih untuk belajar atau bekerja. Ada pekerjaan yang memerlukan anda mempunyai tahap pendidikan tertinggi, misalnya doctor falsafah (PhD), ada yang hanya memerlukan peringkat master saja, malah ada yang memerlukan tahap pendidikan yang lebih rendah. Jika anda mampu, berkebolehan dan minat teruskan hingga ke peringkat tertinggi iaitu PhD, namun jika anda kurang berminat buatlah apa yang anda minat dan ingin habiskan masa hidup anda dalam ruang lingkup yang anda minat itu.

Ramai yang akhirnya berada pada bidang yang dia tidak minat kerana terpaksa. Maklumat yang dia perolehi kurang jelas atau dia bertanya kepada bukan pakar sehingga arah tujunya kabur dan jalur pekerjaan (carrier path) dia tidak jelas. Maka akhirnya jadilah penyimpangan antara cita-cita dan kenyataan.

Ketika anda selesai pendidikan peringkat sarjana muda, mungkin akan berlaku pertembungan antara cita-cita dan peluang. Kilauan ringgit terhadap tawaran pekerjaan mungkin akan menukar haluan anda walaupun anda seorang pelajar cemerlang.

Pada masa itu anda mungkin berfikir untuk bekerja, berkeluarga, beranak, berharta dan sebagainya. Biasanya aku tidak akan memaksa pendapatku kepada pelajar, kerana mereka juga mempunyai wawasan tersendiri. Aku akan meninggalkan beberapa persoalan yang perlu mereka fikirkan dan melahirkan sendiri keputusan mereka. Suatu reality yang mereka perlu tahu ialah ilmu akan menjaga kita, tetapi kita akan terpaksa menjaga harta. Jika aku diberi pilihan untuk memilih antara “dicintai seseorang” atau “mencitai seseorang”, aku akan memilih “dicintai seseorang” kerana dia yang mencintai kita akan terus menjaga dan membelai kita. Usaha yang sangat besar perlu dikeluarkan ketika kita mencintai seseorang, luka yang sangat dalam akan berlaku apabila orang yang kita cintai itu mengkhianati kita.

Antara cita-cita dan realiti ada ketikanya berbeza. Jika sama, kita ucap syukur Al-hamdulillah, jika berbeza terimalah apa adanya sebagai suratan Ilahi dan berbahagialah kita dengannya.

Wallahu A’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 6 September 2011