Monday 16 February 2009

Eksplorasi ke Tanah Tinggi Cameron

Pada tahun 1966 (masa tu Form 4), kalau saya tak silap, kami dalam "Red Cross Society" di bawah bimbingan Mr Ronald Welan, Guru Sejarah. Kalau ada kawan-kawan yang masih ingat tolong perbetulkan mana yang silap, al-maklumlah peristiwa ini berlaku lebih daripada 40 tahun yang lalu. Kenapa saya menceritakan semula perkara ini? Sebab masih ingat dalam kepala "bits and pieces".

Dari Ipoh kami sampai di kaki Bukit Tinggi Cameron agak petang, jadi kami terpaksalah bermalam di kaki bukit dekat dengan sungai, Mr Ronald kata esok baru kita boleh panjat Bkt Tinggi Cameron. Jadi malam tu kami buat kemah dan praktiklah sedikit ilmu dalam pengakap cara nak buat simpulan dan ikat kemah dan sebagainya. Ini pertama kali saya tidur dalam kemah dan dalam hutan pulak tu... Takut, gembira, cemas dan sebagainya pun datang.

Malam tu kami makan sardin tin yang dipanaskan dgn api dari kayu api kering yang dikumpulkan di persekitaran kemah. Kami tabur belerang sekitar kemah supaya ular tak mendekati kemah. Tak lelap sangat tidur malam tu sebab perasaan bercampur macam-macam tapi dah terpaksa, maka kami pun lalui jugalah. Anehnya sekarang ni saya lupa siapa kawan-kawan saya yang ikut serta rombongan itu. Saya ingat sangat Mr Ronald Wilan sebab dia guru kami dan pencetus idea ini.

Esok pagi kami panjat Bkt Tinggi Cameron dari kakinya. Bayangkan kecerunan (tangen) bukit mendekati 90 darjah, tapi kami terpaksa juga sebab nak patah balik tak mungkin, jadi naiklah sedikit demi sedikit dan akhirnya sampailah ke jalan raya yang menghubungkan Bkt Tinggi Cameron dgn Pekan Tapah. Kami pun naiklah bas dan oleh kerana terhoyong hayang dan tak cukup tidur perut saya mual dan tentu anda dapat bayangkan apa yang keluar... Tak lalu makan pula kalau saya cerita habis...
Ramai yang demam apabila balik ke sekolah selepas ekspedisi itu.

Kesimpulan daripada pengalaman ini ialah kita kena berani mencuba sesuatu yang berguna dan bersama dengan guru atau pembimbing berpengalaman. Suatu bentuk penyelidikan yang sederhana, yang kita namakan "Action Research" tentang berpergian ke sesuatu tempat yang kita belum pernah pergi dan melalui jalan yang lain daripada biasa. Sebab itu pengalaman ini sehingga ke hari ini saya tidak boleh lupakan.