Sunday 31 July 2011

Perancangan memastikan kemenangan


Aspek perancangan biasanya diabaikan oleh ummat Islam. Rasulallah s.a.w. dengan jelas melalui peristiwa perang parit membuat perancangan yang rapi melalui cadangan yang dibuat oleh Salman Al-Farisi.

Perancangan menghadapi musuh dengan kekuatan yang lebih besar mestilah melalui taktik dan strategi yang betul.

Ketika mesyuarat Salman Al-Farisi memberikan pendapat, beliau berkata:”Wahai Rasulullah, sewaktu kami di Persia, jika kami diserang, kami membuat parit, alangkah baik jika kita juga membuat Parit sehingga dapat menghalangi musuh dari melakukan serangan”. Secara cepat Rasulallah s.a.w menyetujui pendapat Salman. Maka dari itu, membuat parit merupakan suatu inovasi pertama yang disaksikan oleh Arab dan umat Islam, karena mereka belum pernah menyaksikan sebelumnya parit sebagai strategi dan tektik untuk berperang. Atas alasan ini perang tersebut dinamakan Perang Khandaq (Parit) .

Menurut seorang pakar motivasi personal, Abraham Maslow bahwa setiap manusia akan melalui suatu hiraki keperluan dalam hidupnya iaitu keperluan biologi dan psikologi, keperluan keselamatan, keperluan mempunyai dan dipunyai (cinta), keperluan untuk Berjaya (esteem) dan keperluan kendiri (self-actualization).

Melalui tulisan kali ini saya ingin menyentuh mengenai keperluan untuk keselamatan yang boleh dibahagi kepada keselamatan diri, keselamatan kewangan, keselamatan kesihatan dan keselamatan menghindari kecelakaan.

Secara khususnya saya ingin memfokus kepada keselamatan kewangan, agar kita boleh bebas daripada bergantung kepada orang lain melalui perancangan kewangan.


Pada tahun 1988, keluarga saya sudah lengkap secara fizikal dengan mempunyai enam (6) orang anak dan seorang isteri. Saya dan isteri telah sepakat untuk tidak mempunyai anak lagi dengan izin Allah. Ayah saya mempunyai lapan (8) orang anak dan mertua saya mempunyai empat (4) orang anak. Jadi, secara purata memadailah kami mempunyai enam (6) orang anak.

Keinginan untuk membawa semua ahli keluarga yang terdiri dari lapan (8) orang berjumpa mertua di Semarang, Indonesia sangat saya cita-citakan. Sejak pulang dari England, tahun 1979 saya telah menanam azam untuk membawa seluruh keluarga saya bertemu mertua pada tahun 1988. Dengan gaji RM800 ketika itu, niat saya terasa seperti suatu khayalan, dibebani lagi dengan sewa rumah, belanja makan dan sebagainya.

Namun dengan berkat keazaman dan perancangan perkara itu tercapai. Setiap bulan setelah menerima gaji saya sisihkan sekitar 10% untuk tabungan dan selebihnya saya membuat perancangan dengan melabelkan setiap pengeluaran pada sebuah sampul surat. Terdapat sepuluh (10) sampul surat semuanya yang pada awal bulan saya isikan dengan wang belanja untuk sebulan. Anda boleh membuat beberapa sampul surat dengan jenis pengeluaran yang anda rancangkan. Jika pada suatu ketika wang yang dalam sampul tidak cukup anda terpaksa menunda kegiatan tersebut ke bulan depan dan jika ada kelebihan masukkan ke tabung am bagi menambah tabungan 10% yang anda sisihkan pada setiap bulan.

Jangan sekali-kali menunggu ada kelebihan wang baru hendak membuat tabungan. Cara terbaik ialah sisihkan dulu 10% daripada penerimaan wang bulanan dan kemudian baru rancang untuk bulan berkenaan. Kalau anda sanggup buat tabungan 30% seperti yang dilakukan oleh sebahagian rakyat di negara lain seperti Jepun adalah sangat baik.

Disiplin sangat ditekankan dalam teknik dan strategi ini dan saya cadangkan sangat kepada pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Pun, jika anda belum berumah tangga tabungan sangat digalakkan dan banyak instrument pelaburan ada ketika ini untuk membebaskan anda dari belengu kewangan.

Pada bulan-bulan berikutnya kita boleh sesuaikan perancangan dengan keperluan dan kami sangat berdisiplin dalam berbelanja, yang utama adalah makanan, dan persekolahan anak-anak. Pemborosan tidak diizinkan sama sekali. Dalam perancangan makanan pun, kami berbelanja di pasar borong bagi mendapatkan harga yang murah dan berpatutan. Biasanya kami berbelanja makanan ke pasar borong untuk persediaan sebulan.

Sebaik pulang dari pasar borong, saya akan membungkuskan ikan, daging atau ayam dalam 30 paket untuk dimasak setiap hari selama 30 hari, dengan cara ini kami mempertahankan kualiti makanan yang lain dalam freezer agar tetap baik.

Melalui perancangan di atas, bukan saja saya dan keluarga berhasil membawa satu keluarga berjumpa mertua di Semarang, malah kami dapat membeli sebidang tanah untuk rumah di Teras Jernang dan membina rumah sendiri melalui kerjasama dengan kawan-kawan (main kutu) tanpa meminjam wang dari bank atau kerajaan.

Itulah berkat perancangan dan selalu memohon kepada Allah agar dipermudahkan hidup ini dan diberkati.

No comments:

Post a Comment