Monday, 1 August 2011

Bandung dalam lipatan sejarahku – Siri Pertama

Setelah tinggal beberapa hari di sebuah asrama di Rawamangun, Jakarta pada tahun 1970, kami menaiki bas untuk ke Bandung. Di Kota Kembang, Bandung ini saya mendapat keluarga angkat, Dr Hasnil Basri dan ibu yang tinggal di Jalan Flores No. 4, jalan utama di sekitar itu ialah Jalan Aceh. Anak Bongsu Pak Hasnil bernama Ayi yang selalu kami usik dengan bertanya macam-macam perkara.

Ahmad Sobri Hashim, Jamil Basha Adlan dan saya ditempatkan dalam sebuah bilik di rumah Dr Hasnil Basri dan kami berulang alik ke Institut Teknologi Bandung (ITB) menghadiri kuliah dan kegiatan di sana yang jaraknya sekitar 5 kilometer (KM).

Pada peringkat awal, saya berjalan kaki ke ITB tetapi kemudian, pada tahun 1971 dengan duit biasiswa yang ditabung, saya berhasil membeli sebuah motorsikal Honda Z70 berwarna merah. Nampaknya motorsikal Honda Z70 sudah tidak dikeluarkan lagi, tangki motorsikal itu berada di hadapan pemandu. Pada masa itu harga motorsikal berwarna merah lebih mahal daripada motorsikal berwarna biru atau lain-lain warna. Perbezaan harga berdasarkan permintaan pengguna.

Sejak mendapat motorsikal, kaki kami mulai panjang sikit. Maknanya kami boleh pergi ke mana-mana sekitar Bandung dengan cepat dan perjalanannya boleh pergi jauh. Ada ketika, biasanya hari minggu kami ke Maribaya, sebuah tempat peranginan sejuk di Bandung. Waktu malam ada yang ke “Bandung Tea House”, sebuah tempat yang agak tinggi di utara Kota Bandung yang membolehkan kita melihat Kota Bandung pada waktu malam dengan kegemerlapan cahaya lampu yang indah.

Ada juga teman-teman yang sudah mula dapat “cewek” (girl friend) orang Bandung yang rata-rata cantik. Ada juga yang jatuh cinta dengan anak tuan rumah indekos. Istilah indekos digunakan bagi menyatakan seseorang menyewa bilik di sebuah rumah kepunyaan seseorang yang disebut sebagai tuan rumah (landlord). Kadang-kadang diringkas menjadi kos saja dalam percakapan harian.

Saya mengambil jurusan Matematik yang berada di bawah Fakulti Matematik dan Pengetahuan Alam (MIPA), ITB. Kami dikirim belajar ke Indonesia di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi menambah guru-guru dalam Bahasa Melayu untuk mengajar di sekolah-sekolah di Malaysia dalam bidang sains dan teknologi. Kemudian, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Petronas dan lain-lain juga menghantar pelajar-pelajar mereka ke Indonesia.

Bandung ketika tahun 70an sangat sejuk. Kalau kita bermotorsikal pada malam hari, dada kita kena lapiskan dengan surat khabar atau kertas tebal untuk menghindari udara malam yang dingin. Jaket sudah menjadi satu kemestian bila keluar malam dengan motorsikal. Kalau tidak lama kelamaan, kita akan mendapat penyakit paru-paru basah, istilah paru-paru berair bagi orang Bandung.

Saya sendiri jarang-jarang keluar malam. Saya sering diajak Pak Hasnil ke Mesjid Istiqomah Cihapit untuk solat Suboh kerana dekat dengan Jalan Flores. Ketika itu Mesjid Istiqomah Cihapit sangat dhoif dan Dewan Kesejahteraan Mesjid (DKM), sebuah jawatankuasa bagi mengendalikan mesjid, selalu berbincang macam mana mencari sebuah tempat lain yang lebih selesa untuk jamaah beribadah. Akhirnya Mesjid Istiqomah Cihapit berpindah ke Taman Citarum dan tetap dinamakan Mesjid Istiqomah tetapi lokasinya di Taman Citarum berdekatan dengan Gedung Sate, kantor Gubenor Jawa Barat. Ketika itu saya bertemu dengan Ir Bambang Pranggono dan ayahnda beliau Pak Sunarman aktivis mesjid Istiqomah. Pada tahun 1975, setelah Pak Sunarman kembali ke rahmatullah saya bertemu jodoh dengan anak saudara beliau bernama Umi Purwati Sunoto yang hidup dan mewarisi persekitaran agama Islam yang kuat.

Ir Bambang Pranggono terlibat langsung sebagai arsitek dalam membangun Mesjid Istiqomah Taman Citarum dari sebuah bulatan besar yang kosong, dipenuhi dengan lalang dan pokok-pokok kecil sehingga menjadi sebuah mesjid yang terkenal di seluruh Indonesia. Beliau, ketika tahun 1970an ialah mahasiswa ITB dalam bidang Arsitektur dan Senibina. Sangat gigih dalam berdakwah dan berbakat besar dalam pidato keagamaan. Sekarang, beliau ialah dosen (pensyarah) di Fakulti Teknik, Universiti Islam Bandung (UNISBA).

Sejak bersekolah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh saya suka bergiat dalam persatuan sehingga ketika di STAR saya terlibat dalam 23 aktiviti persatuan, ko-kurikulum, sukan dan sebagainya. Ketika di Bandung, saya tidak boleh lari dari minat ini sehingga dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) pada awal penglibatan sehinggalah menjadi Yang Dipertua (YDP), PKPMI Pusat pada tahun-tahun kemudiannya.

Kami pernah mengadakan lawatan ke Jogjakarta pada tahun 1973 dan ke Medan pada tahun 1974, dengan mengadakan pertandingan persahabatan dalam bermacam-macam jenis sukan dengan PKPMI Cabang Jogjakarta dan Medan pada tahun-tahun berkenaan.

Perjalanan ke Medan kami tempoh dengan menaiki feri Tampomas yang mengambil masa selama 3 hari 2 malam berlepas dari Tanjung Periok hingga ke Medan dengan berhenti di Pulau Bangka dan lain-lain sebelum sampai ke Medan. Pulangnya kami mengambil kapal terbang dari Medan ke Jakarta dan menaiki “travel” dari Jakarta ke Bandung. Ini dilakukan kerana tidak tahan dengan lamanya masa perjalanan laut dari Tanjung Periok ke Medan. Mengikut yang empunya cerita, Feri Tamposmas sudah dipencenkan beberapa tahun selepas itu.

Saya masih teringat hingga kini kerana bercampur risau ketika Prof Zhari Ismail (USM) dan saya membawa wang rupiah dalam jumlah berjuta-juta dalam beg menggunakan kereta api dari Jakarta ke Bandung. Pada masa itu biasiswa lambat dan pelajar-pelajar sudah resah kerana tidak menerima biasiswa beberapa bulan dan mereka terpaksa membayar sewa rumah, makan dan lain-lain. Sambil memeluk erat beg yang berisi wang ratusan juta rupiah saya terus berdoa agar kami selamat sampai ke Bandung dan mengagih-agihkan wang yang diperlukan oleh pelajar-pelajar kita di Bandung. Alhamdulillah, kami sampai dengan selamat dan resahan pelajar pada masa itu dapat diredakan.

Episod-episod lain akan muncul kemudian, jika ada teman-teman lain yang bersama saya pada masa itu dan ingin berkongsi cerita saya amat alu-alukan.

No comments:

Post a Comment