Tuesday, 29 January 2013

Suasana kehidupan warga emas

Setelah berkahwin dan mulai mempunyai anak yang ramai, kita memerlukan rumah besar, kereta besar dan perbelanjaan besar bagi menghadapi perkembangan pesat keluarga. Kadang-kadang terpaksa menggunakan kad kredit untuk menampung kekurangan sana sini ketika itu. Kerana terbiasa menggunakan kad kredit, kita sukar meninggalkan tabiat itu walau pun kita cukup sedar dengan perangkap maut kad kredit.

Kemudian, pada peringkat akhir hidup kita satu demi satu anak-anak kita mulai mendirikan rumah tangga dan mulai meninggalkan kita satu per satu. Akhirnya kita tinggal berdua semula, mungkin juga akan tinggal sendirian selepas ditinggalkan oleh pasangan masing-masing. Sebelumnya pada pertengahan umur, kita bergelut dengan pelbagai masalah membesarkan anak-anak. Saya teringat betul kurva distribusi normal yang gemuk di tengah-tengah dan kurus di kedua-dua belah sayapnya. Itulah kiranya gambaran yang tepat kehidupan berkeluarga seorang insan.

Pada awal kehidupan, kita tidak punya apa-apa, namun apabila kita menerima tanggungjawab sebagai suami atau isteri kehidupan kita mulai dirancang dan kehidupan kita mulai dipenuhi dengan berbagai impian sehingga cita-cita mencari kekayaan untuk menampung keperluan anak-anak menjadi sasaran utama kita. Mungkin juga ketika itu kita lupa untuk ingat Allah yang mencurahkan rezeki kepada kita kerana sibuk dengan urusan diri sendiri dan anak-anak. Akhirnya terkumpul segala benda seperti perabot, buku-buku, pakaian dan alatan lain di rumah kita yang terpaksa dibina besar untuk memuatkan semua koleksi kita di pertengahan umur. Ada yang kita perlukan dan lebih banyak yang sebenarnya kita tidak perlukan, menjadi masalah juga bagaimana untuk menyahkan barangan-barangan demikian. Ketika tenaga dan wang semakin berkurang kita mulai merasakan tersangat penat untuk menguruskan rumah yang begitu besar dan halaman yang begitu luas.

Setidak-tidaknya saya telah menemui dua pasangan yang menjual rumah mewah mereka yang dulunya meriah suasana dengan gelagat anak-anak tetapi kini sangat sukar diuruskan dengan tenaga empat kerat yang semakin melemah dan rumah yang semakin kesunyian. Mereka memilih untuk membeli kondominium yang mempunyai kolam renang, sistem keselamatan yang canggih dan ramai rakan sebaya yang sama umur. Trend ini akan semakin menjadi-jadi apabila warga tua meningkat jumlahnya. Warga emas yang kaya boleh memilih untuk membeli kondominium dengan segala keselesaannya, namun bagi warga emas yang kurang pendapatan, mereka boleh menempati rumah warga emas atau warga tua yang didirikan bagi menampung keperluan warga emas baik di Malaysia atau lain-lain tempat. Di rumah warga emas banyak kegiatan kerohanian, ceramah kemahiran, lawatan dan pelbagai kegiatan dapat dilakukan bagi mengisi masa mereka yang banyak sementara menunggu giliran dipanggil Allah Yang Maha Kuasa untuk kembali menemuiNya.

Sesiapa yang bersiap sedia menghadapi hari tuanya akan selesa hidup mereka kerana mereka sudah pun mempersiapkan kesihatan yang baik dengan menjaga kesihatan, menyiapkan kewangan yang banyak dengan menabung dan utamanya menyiapkan mental untuk melalui hari tua. Jika kekuatan mental tidak ada atau kurang, besar kemungkinan kehidupan di hari tua akan menderita, jika ketika ini mereka baru mencari Allah, maka dikhuatiri akan rapuh pautannya kepada Allah ketika suasana baharu dan mencabar yang akan mereka hadapi di hari tua. Untung sangat jika orang-orang tua yang masih mempunyai anak yang ingat kepada mereka. Tidak kurang ramai anak-anak yang mulai derhaka kepada ayah dan ibu ketika ini, kerana orang-orang tua ini menyusahkan mereka, apa lagi jika mereka hanya ingin mencari keseronokan saja dalam hidup ini.

Hanya melalui cinta Allah kehidupan kita akan lebih nyaman dan tenang.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 29 Januari 2013.


No comments:

Post a Comment