Monday, 1 April 2013

DENAI KERJAYA PENSYARAH

Dalam pertemuan dengan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Dato Dr Asma Ismail pada 1 April 2013, beberapa perkara telah dibangkitkan dan yang menarik untuk saya kupas kali ini ialah denai kerjaya pensyarah.

Sengaja saya pilih perkataan denai untuk menyatakan “path” dalam bahasa Inggeris walau pun sebahagian penulis mungkin akan memilih untuk menggunakan perkataan jalan, lebuhraya atau “street”. Denai membawa maksud jalan yang belum diterokai, masih banyak onak dan duri, banyak dugaan dan masalah menunggu ketika kita menjalaninya.

Seperti juga kerjaya lain, kerjaya pensyarah memerlukan perhatian yang serius kerana pada bahu merekalah terletak tugas dan tanggungjawab mendidik anak bangsa yang akan membangun negara. Denai ini memang sangat mencabar kerana seorang pensyarah sekarang memerlukan segulung ijazah yang dinamakan PhD (bukan Perangai hasad Dengki), memerlukan doktor falsafah dalam bidang syarahan mereka masing-masing. Sangat penting ialah proses mendapatkannya, bukan mempunyainya, kerana ada yang mempunyainya melalui pembelian, pemberian dan sebagainya. Proses mendapatkan PhD bukan suatu kerja yang mudah, selain daripada waktu minima bagi mendapatkannya ialah dua tahun setengah sehingga empat atau lima tahun tetapi latihan yang dilalui seorang calon PhD menghendaki beliau membaca, berbincang, mengupas, mencerna dan sebagainya sehingga menjadi pakar dalam sesuatu bidang.

Hampir semua universiti mengenakan syarat “cumulative grade point average (cgpa)” sekurang-kurangnya 3.0 pada peringkat ijazah pertama bagi memulakan kerjaya pensyarah daripada tutor, namun terdapat ramai juga yang akhirnya kandas mendapatkan ijazah master atau PhD kerana berbagai sebab masing-masing. Kegagalan mereka mendapatkan ijazah PhD membuatkan ruang yang mereka tempati sukar diganti dengan calon baru yang lebih berkelayakan. Ada sebahagian universiti masih mengambil mereka bekerja walau pun mereka gagal mendapatkan PhD setelah diberi masa maksimum selama 4 atau 5 tahun. Jika jumlah tutor atau felo yang gagal mendapatkan PhD ini ramai, maka tugas memberi syarahan akan terbeban kepada pensyarah-pensyarah yang mempunyai PhD. Ada universiti yang mengambil jalan yang tegas dengan memberikan mereka biasiswa dan tiada jaminan pekerjaan jika mereka gagal mendapatkan PhD. Ini semua bergantung kepada perjanjian antara calon PhD dengan pihak universiti.

Setelah mendapat PhD setiap pensyarah mesti menetapkan selepas tiga (3) tahun mereka seharusnya sudah disahkan dalam jawatan, dalam masa lima (5) tahun berikutnya sudah mendapat jawatan profesor madya dan dalam masa 8 atau 10 tahun berikutnya sudah mempunyai jawatan profesor. Dalam jawatan profesor pun, mereka perlu mengejar dari profesor C, kepada B dan akhirnya menjadi profesor A dalam waktu yang disasarkan. Selepas itu mungkin pula mengejar menjadi profesor ulung dan sebagainya. Pada setiap peringkat denai kerjaya seorang pensyarah, mereka perlu mengetahui apakah syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak universiti melalui panduan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mencapai peringkat tertentu kerana denai kerjaya pensyarah tidak memerlukan kekosongan untuk diisi, ianya senentiasa terbuka untuk dicapai cuma bergantung kepada usaha dan kerajinan pengejarnya untuk berusaha bersungguh-sungguh.

Kerjaya pensyarah sungguh menarik dengan segala kemudahan dan imbalannya, namun tidak semua mempunyai kesempatan untuk berada di denai yang khusus ini. Penulis ingin mengajak pembaca yang mempunyai minat atau mempunyai zuriat menerokai denai ini secara bersungguh-sungguh dan berperancangan agar kerjaya ini menjadi suatu kerjaya yang suci dan bermartabat, tidak dinodai dengan sebarang kepincangan.

Akhirnya penulis ingin mengatakan bahwa “jika takut dilanda ombak, jangan berumah di tepi pantai” yang membawa maksud masukilah kerjaya pensyarah jika anda betul-betul minat dan bersedia untuk melalui denai yang mencabar ini.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 2 April 2013.


3 comments:

  1. Memang menarik. Boleh jadikan ruang utk bersama kongsi pengalaman masing masing. Teruskan usaha yg murni ini.

    ReplyDelete
  2. Tahniah kepada mereka yang berjaya,tapi jangan lupa ilmu itu ta berkesudahan dengan sakeping Ijazah sahaja ia perlu diterokai hingga ka liang lahat ( maksud hadith nabi).

    ReplyDelete
  3. Infonya sangat bagus, sekarang saya mau lanjut baca artikel dari ente gan yang gak kalah menariknya,mengenai :

    obat herbal

    pemutih badan

    obat asam urat

    obat pelangsing

    obat hernia

    obat diabetes

    ReplyDelete