Monday, 15 April 2013

Denai Kerjaya Pensyarah – Siri 2

Pada 2 April 2013 saya telah menulis mengenai kerjaya pensyarah dan mendapat komen positif daripada kawan-kawan mengenainya. Kali ini saya ingin melanjutkan tulisan saya mengenai alam pensyarah yang belum disentuh dalam siri 1 yang lalu.

Saya juga telah sentuh dalam siri yang lalu bahwa, kerjaya pensyarah memerlukan perhatian yang serius kerana pada bahu merekalah terletak tugas dan tanggungjawab mendidik anak bangsa yang akan membangun negara. Kerjaya seorang pensyarah sekarang memerlukan segulung ijazah yang dinamakan PhD (bukan Perangai hasad Dengki), memerlukan doktor falsafah dalam bidang syarahan mereka masing-masing. Sangat penting ialah proses mendapatkannya, bukan mempunyainya, kerana ada yang mempunyainya melalui pembelian, pemberian dan sebagainya. Proses mendapatkan PhD bukan suatu kerja yang mudah, selain daripada waktu minima bagi mendapatkannya ialah dua tahun setengah sehingga empat atau lima tahun tetapi latihan yang dilalui seorang calon PhD menghendaki beliau membaca, berbincang, mengupas, mencerna dan sebagainya sehingga menjadi pakar dalam sesuatu bidang.

Hampir semua universiti mengenakan syarat “cumulative grade point average (cgpa)” sekurang-kurangnya 3.0 pada peringkat ijazah pertama bagi memulakan kerjaya pensyarah daripada tutor, namun terdapat ramai juga yang akhirnya kandas mendapatkan ijazah master atau PhD kerana berbagai sebab masing-masing. Kegagalan mereka mendapatkan ijazah PhD membuatkan ruang yang mereka tempati sukar diganti dengan calon baru yang lebih berkelayakan. Ada sebahagian universiti masih mengambil mereka bekerja walau pun mereka gagal mendapatkan PhD setelah diberi masa maksimum selama 4 atau 5 tahun. Jika jumlah tutor atau felo yang gagal mendapatkan PhD ini ramai, maka tugas memberi syarahan akan terbeban kepada pensyarah-pensyarah yang mempunyai PhD. Ada universiti yang mengambil jalan yang tegas dengan memberikan mereka biasiswa dan tiada jaminan pekerjaan jika mereka gagal mendapatkan PhD. Ini semua bergantung kepada perjanjian antara calon PhD dengan pihak universiti.

Setelah mendapat PhD setiap pensyarah mesti menetapkan selepas tiga (3) tahun mereka seharusnya sudah disahkan dalam jawatan, dalam masa lima (5) tahun berikutnya sudah mendapat jawatan profesor madya dan dalam masa 8 atau 10 tahun berikutnya sudah menjawat jawatan profesor. Dalam jawatan profesor pun, mereka perlu mengejar dari profesor C, kepada B dan akhirnya menjadi profesor A dalam waktu yang disasarkan. Selepas itu mungkin pula mengejar menjadi profesor ulung dan sebagainya. Pada setiap peringkat denai kerjaya seorang pensyarah, mereka perlu mengetahui apakah syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak universiti melalui panduan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mencapai peringkat tertentu kerana kerjaya pensyarah tidak memerlukan kekosongan untuk diisi, ianya senentiasa terbuka untuk dicapai cuma bergantung kepada usaha dan kerajinan pengejarnya untuk berusaha bersungguh-sungguh.

Kerjaya pensyarah sungguh menarik dengan segala kemudahan dan imbalannya, namun tidak semua mempunyai kesempatan untuk berada di jalur khas ini. Saya ingin mengajak pembaca yang mempunyai minat atau mempunyai anak-anak atau cucu-cucu menerokai bidang kerjaya pensyarah ini secara bersungguh-sungguh dan berperancangan agar kerjaya ini menjadi suatu kerjaya yang suci dan bermartabat, tidak dinodai dengan sebarang kepincangan.

Kepada pensyarah yang baru pulang dan mendapat PhD saya mencadangkan agar anda bergabung dengan mana-mana kumpulan penyelidikan yang sesuai dengan minat anda. Kerja berjamaah lebih baik daripada kerja sendiri-sendiri. Jika perlu cari mentor yang dapat membimbing anda menerbitkan makalah jurnal yang akan dinilai dalam kenaikan pangkat atau jika anda berbakat sebagai pemimpin carilah mentee untuk diberikan bimbingan.

Tindakan kedua ialah mencari pelajar peringkat master atau PhD yang dapat membantu anda menghasilkan makalah jurnal, sekaligus membantu pelajar mendapatkan ijazah master atau doktor falsafah (PhD). Banyak universiti sekarang sudah mula mengklasifikasikan penyelidikan dalam bidang-bidang tujahan utama, ini dapat membantu universiti menjadi universiti penyelidikan (Research University), pastinya salah satu daripada bidang itu adalah bidang yang anda minati atau jika belum ada bidang yang anda minat, cadangkan agar bidang anda menjadi bidang fokus utama.

Setiap universiti akan berusaha mendapatkan geran penyelidikan sebanyak mungkin agar semua pensyarah mereka dapat menghasilkan makalah jurnal melalui penyelidikan. Melalui geran anda dapat membentang kertas kerja penyelidikan di luar negara dan juga menerbitkan makalah jurnal dalam jurnal tersohor. Banyak penerbit jurnal sekarang mengenakan yuran penerbitan dan biasanya makalah jurnal mereka akan diterbitkan dalam kadar segera berbanding dengan jurnal yang tidak mengenakan yuran yang biasanya lambat menerbitkan jurnal mereka. Jika anda mempunyai geran penyelidikan, hal ini tidak menjadi masalah.

Anda hendaklah bertindak proaktif dalam mencari calon pelajar master atau PhD kerana pelajar secara umumnya belum mengenali anda (pensyarah baru). Ada kawan saya yang pergi sendiri ke negara yang menjadi sasaran beliau untuk mendapatkan pelajar master dan PhD dan berhasil mendapatkan pelajar, tetapi anda mestilah mempunyai geran terlebih dahulu sebelum menjanjikan jawatan pembantu penyelidik (research assistant) kepada calon pelajar. Jika anda mempunyai pelajar yang ramai, agak mudah untuk mendapatkan makalah jurnal. Kuatkan bidang tujahan anda dan pasti kemudian melalui iklan dari mulut ke mulut nama anda akan tersebar melalui pelajar-pelajar anda sendiri.

Mungkin anda terfikir anda kena keluarkan wang sendiri untuk pergi dan mencari pelajar. Hal ini ada benar dan ada tidaknya. Mungkin anda boleh menggunakan kesempatan membentang kertas kerja di mana-mana konferensi untuk mengiklankan bidang penyelidikan anda dan menyatakan ada ruang untuk mendapatkan teori baru, atau memasuki mana-mana forum maya akademik dan memaklumkan kepada ahli forum tentang bidang penyelidikan anda. Kadang-kadang anda terpaksakan juga mengeluarkan sedikit modal untuk mendapatkan pelajar tetapi berfikiran kreatif dan inovatif dan mencari cara terbaik, murah dan berkesan untuk mendapatkan pelajar.

Jika anda kreatif dan inovatif, banyak hal boleh terhuraikan dalam kerjaya anda sebagai seorang pensyarah. Pada dasarnya anda mesti menyukai profesion anda dan anda tidak akan jemu-jemu mencari jalan untuk berjaya dalam bidang yang anda akan ceburi sepanjang hayat kerana sebenarnya tiada istilah pencen bagi seorang pensyarah profesional. Bagi mereka sekali menjadi pensyarah akan tetap menjadi pensyarah sampai bila-bila. Mungkin sampai ke hujung hayat sebagai pensyarah.

Jumpa lagi di siri 3 nanti.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 16 April 2013.


Daun yang jatuh tak pernah membenci angin

Aku hanya ingin meminjam tajuk buku Tere Liye sebagai tajuk tulisanku kali ini. Indah dan bermakna sekali tajuk di atas. Aku tidak akan mengupas buku karangan Tere Liye itu kerana lebih baik membaca sendiri karya itu daripada mendengar daripada sumber kedua.

Setiap kali ke Bandung aku tidak akan lupa ke Jalan Palasari, Bandung yang menjejerkan toko-toko buku lama dan baru dengan harga murah dan siap dibalut sekali buku yang kita beli. Ketika tahun 1970an, aku kerap mengunjungi Jalan Cikapundung, namun kerana desakan pembangunan peniaga di Cikapundung terpaksa dipindahkan ke Jalan Palasari. Tak kisahlah di mana letaknya toko buku murah, peminat buku akan tetap mencarinya.

Ketika aku menatap buku Tere Liye itu, aku sungguh terkesan dengan kata-kata indah tersebut. Apakah yang ingin disampaikan melalui kata-kata, “Daun yang jatuh tak pernah membenci angin?”.

Perkataan “jatuh” membawa makna berubah dari satu kedudukan yang tinggi kepada suatu kedudukan yang rendah. Dihina. Dimalukan. Diremehkan. Disalahmengerti. Dan sebagainya. Disebabkan angin, daun itu jatuh, namun daun itu tak pernah membenci angin yang menjatuhkannya. Dalam kata lain sungguh berhati mulia “daun” itu. Apa lagi dia tak pernah membenci orang yang menjatuhkannya. Sebuah pribadi mulia, yang pasrah, yang positif menghadapi hidup ini.

Setiap kali daun itu jatuh, dia tidak mencari siapa yang menjatuhkannya, malah dia terlebih dahulu memaafkan penjatuhnya kerana dia tak pernah membenci penjatuhnya. Satu situasi yang sungguh indah kalau dapat kita terapkan dalam hidup ini.

Setiap kali timbul suasana benci satu noda hitam akan bersarang di hati kita. Jika berkali-kali kita membenci sesuatu akan bertambah banyak noda-noda hitam bersarang di hati kita yang akan membuat hati berjelaga teruk dan sukar untuk membersihkannya. Tindakan yang paling baik ialah memaafkan. Maafkan angin walau pun angin itu menjatuhkan daun. Noda hitam tidak sempat bersarang di hati ketika kita segera nyahkan perasaan benci yang mulai akan hadir di hati kita.

Setiap kali musibah menjengah dalam kehidupan kita, anggaplah kedatangannya sebagai rahmat yang tersembunyi. Allah ingin menambah pahala jika kita bersabar. Berfikiran positif dan bertindak positif menghadapi dugaan hidup kerana manusia yang hidup pasti menghadapi masalah. Setiap masalah jika boleh kita atasi, akan memperkuatkan jiwa kita ke satu tahap yang lebih tinggi dan bermakna. Tidak ada sesuatu yang terjadi di alam maya ini tanpa sebab musababnya. Pasti ada hikmah yang terselindung di sebaliknya, kita patut merenungi setiap kejadian yang berlaku dan mencari sisi-sisi positif daripada setiap kejadian itu.

Muhasabah diri adalah tindakan yang terbaik dalam menghadapi setiap keadaan. Syukur kepada setiap kejadian yang baik dan bersabar kepada setiap musibah kerana semua yang berlaku adalah atas kehendak Allah. Peranan kita ialah berbuat yang terbaik sesuai dengan perintah Allah dan panduan Rasulullah S.A.W.

Mari kita amalkan sikap positif dalam hidup ini dan jangan membenci walau pun satu terhadap mereka yang menjatuhkan kita. Pasang strategi yang berkesan dan berusaha semula untuk mencapai kejayaan seperti daun yang jatuh tak pernah membenci angin.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 15 April 2013.


Monday, 1 April 2013

DENAI KERJAYA PENSYARAH

Dalam pertemuan dengan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Dato Dr Asma Ismail pada 1 April 2013, beberapa perkara telah dibangkitkan dan yang menarik untuk saya kupas kali ini ialah denai kerjaya pensyarah.

Sengaja saya pilih perkataan denai untuk menyatakan “path” dalam bahasa Inggeris walau pun sebahagian penulis mungkin akan memilih untuk menggunakan perkataan jalan, lebuhraya atau “street”. Denai membawa maksud jalan yang belum diterokai, masih banyak onak dan duri, banyak dugaan dan masalah menunggu ketika kita menjalaninya.

Seperti juga kerjaya lain, kerjaya pensyarah memerlukan perhatian yang serius kerana pada bahu merekalah terletak tugas dan tanggungjawab mendidik anak bangsa yang akan membangun negara. Denai ini memang sangat mencabar kerana seorang pensyarah sekarang memerlukan segulung ijazah yang dinamakan PhD (bukan Perangai hasad Dengki), memerlukan doktor falsafah dalam bidang syarahan mereka masing-masing. Sangat penting ialah proses mendapatkannya, bukan mempunyainya, kerana ada yang mempunyainya melalui pembelian, pemberian dan sebagainya. Proses mendapatkan PhD bukan suatu kerja yang mudah, selain daripada waktu minima bagi mendapatkannya ialah dua tahun setengah sehingga empat atau lima tahun tetapi latihan yang dilalui seorang calon PhD menghendaki beliau membaca, berbincang, mengupas, mencerna dan sebagainya sehingga menjadi pakar dalam sesuatu bidang.

Hampir semua universiti mengenakan syarat “cumulative grade point average (cgpa)” sekurang-kurangnya 3.0 pada peringkat ijazah pertama bagi memulakan kerjaya pensyarah daripada tutor, namun terdapat ramai juga yang akhirnya kandas mendapatkan ijazah master atau PhD kerana berbagai sebab masing-masing. Kegagalan mereka mendapatkan ijazah PhD membuatkan ruang yang mereka tempati sukar diganti dengan calon baru yang lebih berkelayakan. Ada sebahagian universiti masih mengambil mereka bekerja walau pun mereka gagal mendapatkan PhD setelah diberi masa maksimum selama 4 atau 5 tahun. Jika jumlah tutor atau felo yang gagal mendapatkan PhD ini ramai, maka tugas memberi syarahan akan terbeban kepada pensyarah-pensyarah yang mempunyai PhD. Ada universiti yang mengambil jalan yang tegas dengan memberikan mereka biasiswa dan tiada jaminan pekerjaan jika mereka gagal mendapatkan PhD. Ini semua bergantung kepada perjanjian antara calon PhD dengan pihak universiti.

Setelah mendapat PhD setiap pensyarah mesti menetapkan selepas tiga (3) tahun mereka seharusnya sudah disahkan dalam jawatan, dalam masa lima (5) tahun berikutnya sudah mendapat jawatan profesor madya dan dalam masa 8 atau 10 tahun berikutnya sudah mempunyai jawatan profesor. Dalam jawatan profesor pun, mereka perlu mengejar dari profesor C, kepada B dan akhirnya menjadi profesor A dalam waktu yang disasarkan. Selepas itu mungkin pula mengejar menjadi profesor ulung dan sebagainya. Pada setiap peringkat denai kerjaya seorang pensyarah, mereka perlu mengetahui apakah syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak universiti melalui panduan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mencapai peringkat tertentu kerana denai kerjaya pensyarah tidak memerlukan kekosongan untuk diisi, ianya senentiasa terbuka untuk dicapai cuma bergantung kepada usaha dan kerajinan pengejarnya untuk berusaha bersungguh-sungguh.

Kerjaya pensyarah sungguh menarik dengan segala kemudahan dan imbalannya, namun tidak semua mempunyai kesempatan untuk berada di denai yang khusus ini. Penulis ingin mengajak pembaca yang mempunyai minat atau mempunyai zuriat menerokai denai ini secara bersungguh-sungguh dan berperancangan agar kerjaya ini menjadi suatu kerjaya yang suci dan bermartabat, tidak dinodai dengan sebarang kepincangan.

Akhirnya penulis ingin mengatakan bahwa “jika takut dilanda ombak, jangan berumah di tepi pantai” yang membawa maksud masukilah kerjaya pensyarah jika anda betul-betul minat dan bersedia untuk melalui denai yang mencabar ini.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 2 April 2013.


Tuesday, 29 January 2013

Suasana kehidupan warga emas

Setelah berkahwin dan mulai mempunyai anak yang ramai, kita memerlukan rumah besar, kereta besar dan perbelanjaan besar bagi menghadapi perkembangan pesat keluarga. Kadang-kadang terpaksa menggunakan kad kredit untuk menampung kekurangan sana sini ketika itu. Kerana terbiasa menggunakan kad kredit, kita sukar meninggalkan tabiat itu walau pun kita cukup sedar dengan perangkap maut kad kredit.

Kemudian, pada peringkat akhir hidup kita satu demi satu anak-anak kita mulai mendirikan rumah tangga dan mulai meninggalkan kita satu per satu. Akhirnya kita tinggal berdua semula, mungkin juga akan tinggal sendirian selepas ditinggalkan oleh pasangan masing-masing. Sebelumnya pada pertengahan umur, kita bergelut dengan pelbagai masalah membesarkan anak-anak. Saya teringat betul kurva distribusi normal yang gemuk di tengah-tengah dan kurus di kedua-dua belah sayapnya. Itulah kiranya gambaran yang tepat kehidupan berkeluarga seorang insan.

Pada awal kehidupan, kita tidak punya apa-apa, namun apabila kita menerima tanggungjawab sebagai suami atau isteri kehidupan kita mulai dirancang dan kehidupan kita mulai dipenuhi dengan berbagai impian sehingga cita-cita mencari kekayaan untuk menampung keperluan anak-anak menjadi sasaran utama kita. Mungkin juga ketika itu kita lupa untuk ingat Allah yang mencurahkan rezeki kepada kita kerana sibuk dengan urusan diri sendiri dan anak-anak. Akhirnya terkumpul segala benda seperti perabot, buku-buku, pakaian dan alatan lain di rumah kita yang terpaksa dibina besar untuk memuatkan semua koleksi kita di pertengahan umur. Ada yang kita perlukan dan lebih banyak yang sebenarnya kita tidak perlukan, menjadi masalah juga bagaimana untuk menyahkan barangan-barangan demikian. Ketika tenaga dan wang semakin berkurang kita mulai merasakan tersangat penat untuk menguruskan rumah yang begitu besar dan halaman yang begitu luas.

Setidak-tidaknya saya telah menemui dua pasangan yang menjual rumah mewah mereka yang dulunya meriah suasana dengan gelagat anak-anak tetapi kini sangat sukar diuruskan dengan tenaga empat kerat yang semakin melemah dan rumah yang semakin kesunyian. Mereka memilih untuk membeli kondominium yang mempunyai kolam renang, sistem keselamatan yang canggih dan ramai rakan sebaya yang sama umur. Trend ini akan semakin menjadi-jadi apabila warga tua meningkat jumlahnya. Warga emas yang kaya boleh memilih untuk membeli kondominium dengan segala keselesaannya, namun bagi warga emas yang kurang pendapatan, mereka boleh menempati rumah warga emas atau warga tua yang didirikan bagi menampung keperluan warga emas baik di Malaysia atau lain-lain tempat. Di rumah warga emas banyak kegiatan kerohanian, ceramah kemahiran, lawatan dan pelbagai kegiatan dapat dilakukan bagi mengisi masa mereka yang banyak sementara menunggu giliran dipanggil Allah Yang Maha Kuasa untuk kembali menemuiNya.

Sesiapa yang bersiap sedia menghadapi hari tuanya akan selesa hidup mereka kerana mereka sudah pun mempersiapkan kesihatan yang baik dengan menjaga kesihatan, menyiapkan kewangan yang banyak dengan menabung dan utamanya menyiapkan mental untuk melalui hari tua. Jika kekuatan mental tidak ada atau kurang, besar kemungkinan kehidupan di hari tua akan menderita, jika ketika ini mereka baru mencari Allah, maka dikhuatiri akan rapuh pautannya kepada Allah ketika suasana baharu dan mencabar yang akan mereka hadapi di hari tua. Untung sangat jika orang-orang tua yang masih mempunyai anak yang ingat kepada mereka. Tidak kurang ramai anak-anak yang mulai derhaka kepada ayah dan ibu ketika ini, kerana orang-orang tua ini menyusahkan mereka, apa lagi jika mereka hanya ingin mencari keseronokan saja dalam hidup ini.

Hanya melalui cinta Allah kehidupan kita akan lebih nyaman dan tenang.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 29 Januari 2013.


Monday, 28 January 2013

Silaturahim memanjangkan umur

Pada 26 hingga 28 Januari 2013 yang lalu alumni Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh telah mengadakan kunjungan silaturahim ke Selatan Malaysia dan Singapura yang merangkumi Batu Pahat, Pontian, Kukup, Johor Bahru dan Singapura.

Di Pontian, rombongan telah mengunjungi Sdr Faizal Salihun SPM 1995 yang telah lumpuh selama 17 tahun akibat daripada permainan rugbi di STAR. Teringat saya pada tahun 1965 ketika Sdr Hashim Awang yang meninggal setelah bahunya terhentak tiang gol rugbi. Padang rugbi yang sama berada antara Rumah Hitam dan Rumah Merah yang meninggalkan impak mendalam dalam fikiranku, padang itu juga pernah saya gunakan untuk bermain rubgi sebagai “scrum-half” dalam pertandingan antara rumah. Keluarga Faizal telah memberikan sepenuh kasih sayang kepada penderitaan saudara Faizal dengan menjaganya dengan ikhlas.

Gelak ketawa gegak gempita memenuhi perjalanan ke Johor Bahru dari Kajang selama lebih kurang lima (5) jam. Ketua lawak ialah Presiden kita Sdr Azlan Abdullah (nama sebenar), saya mencadangkan kepada beliau untuk memasuki Program Raja Lawak yang sudah pasti akan mendapat undian daripada semua pelajar-pelajar STAR. Tidak kurang hebat juga ialah peranan besan beliau Sdr Fathil Mohd Sharif yang mempunyai simpanan episod kelakar bagi menghangatkan suasana perjalanan.

Dua orang senior saya Yang Ariff Dato Yusoff Ahmad (Star61) dan Dato Mohamed Idris Saman (Star64) turut hadir dalam rombongan ini dan bergaul mesra dengan semua peserta dari berbagai angkatan. Tahniah kepada kedua-dua Dato dan harap dapat bersama lagi dalam rombongan-rombongan yang akan datang.

Tema seluruh perjalanan ialah Silaturahim dan Nostalgia.

Saya sendiri memandang sangat penting peranan silaturahim dalam kehidupan kita yang singkat ini. Pihak STAROBA mesti memperbanyakkan lawatan seperti ini dan merangkumi keseluruhan alumni STAR.

Berikut saya sunting dan ubahsuai bahasa daripada laman blog muslimahzone.com / arrahmah.com mengenai silaturahim dan hadis-hadis yang berkaitan.

Dari Anas bin Malik RA bahwasanya Rasulullah SAW telah bersabda: «مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ» "Barangsiapa senang apabila dilapangkan rizkinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung tali silaturahimnya!" (HR. Bukhari no. 5985 dan Muslim no. 2557)

Istilah “An Yubsatha” membawa makna diluaskan atau dilapangkan. Sementara istilah “An Yunsa-a” bermakna diakhirkan atau ditunda, dan istilah “Atsarihi” yang makna asalnya secara bahasa adalah bekasnya atau jejaknya. Adapun dalam hadis di atas maksudnya adalah ajal atau umurnya. Ajal seseorang disebut atsar atau bekas dan jejaknya, karena ia mengikuti umur seseorang.

Kedua hadis shahih di atas menjelaskan bahwa rizki seseorang boleh ditambah dan kematian seseorang boleh ditunda jika ia menyambung tali silaturahmi.

Sebagaimana telah diketahui bersama, rizki dan usia seseorang telah ditentukan oleh Allah. Secara khusus, Allah berfirman tentang usia dan kematian hamba-Nya, فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ "Maka jika kematian mereka telah tiba niscaya mereka tidak boleh menundanya walau sesaat dan tidak pula mereka boleh menyegerakannya." (QS. Al-A'raf [7]: 34)

Lahiriah hadis-hadis tentang "penambahan usia" atau "penundaan kematian" di atas bertentangan dengan lahiriah ayat di atas. Sebenarnya antara ayat tersebut dan hadis-hadis di atas tidak ada perbedaan. Sebab, makna dari semua dalil tersebut masih bisa dipadukan.

Para ulama mencoba untuk memberikan beberapa penjelasan yang memudahkan kita untuk memahami maksud dari "ditunda kematiannya" atau "ditambahkan umurnya" dalam kedua hadis di atas.

Imam Yahya bin Syaraf An-Nawawi dalam Syarh Shahih Muslim, Badruddin Al-'Aini dalam Umdatul Qari Syarh Shahih Bukhari dan al-Hafizh Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari menjelaskan bahwa kedua hadis di atas memiliki dua kemungkinan makna yang paling kuat, yaitu makna hakekat dan makna kiasan.

Tambahan umur dalam kedua hadis ini merupakan bahasa kiasan untuk tercapainya keberkahan pada umur, karena ia mendapat taufiq dari Allah untuk melaksanakan ketaatan, mengisi waktunya dengan hal-hal yang membawa manfaat di akhirat dan menjaga dirinya dari menyia-nyiakan waktunya dengan hal-hal yang tidak membawa manfaat di akhirat.

Di antara contoh pengertian ini adalah hadis yang menyebutkan bahwa Nabi shallallahu 'alaihi wa salam merasa umur umat beliau terlalu pendek bila dibandingkan dengan umur umat-umat terdahulu. Maka Allah mengaruniakan kepada beliau malam lailatul qadar. Dalam lailatul qadar, seorang hamba beramal shalih dalam satu malam namun mendapatkan pahala yang lebih baik dan lebih banyak dari amalan selama seribu bulan (83 tahun 4 bulan) yang tidak ada lailatul qadarnya. Itulah pengertian umurnya dipanjangkan, yaitu seakan-aan dipanjangkan selama 83 tahun lebih. Satu malam nilai keberkahannya bahkan melebihi keberkahan umur selama 83 tahun lebih.

Intinya, menyambung tali kekerabatan menjadi sebab mendapat taufik untuk melaksanakan amal-amal ketaatan dan melindungi diri dari perbuatan-perbuatan maksiat. Dengan demikian saat ia meninggal, ia meninggalkan nama yang harum dan pujian yang baik. Pada saat itulah ia seakan-akan belum mati, meskipun jasadnya sudah mati. Ia seakan-akan belum mati karena masyarakat masih senantiasa mengenang keshalihan amalnya dan kemuliaan akhlaknya.

Di antara bentuk taufik yang Allah karuniakan kepada seorang hamba sehingga seakan-akan menambah umurnya adalah tiga amal kebaikan yang disabdakan oleh baginda Nabi shallallahu 'alaihi wa salam: إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ "Jika manusia telah meninggal maka amalannya terputus kecuali tiga amalan; sedekah yang terus mengalir, ilmu yang diambil manfaatnya dan anak shalih yang mendoakan kebaikan baginya." (HR. Muslim no. 1631, Tirmidzi no. 1376, Ahmad no. 8844 dan Ad-Darimi no. 559)

Tambahan usia dalam hadis tersebut memiliki makna hakekat, yaitu terjadinya penambahan usia yang sebenarnya, bukan sekedar bahasa kiasan. Penambahan usia ini di sini adalah menurut pandangan malaikat yang mendapat tugas untuk mencatat usia makhluk. Adapun menurut ilmu Allah sebenarnya usia makhluk tersebut tidak mengalami penambahan sedikit pun.

Misalnya, Allah Ta'ala berfirman kepada malaikat pencatat usia manusia: "Umur si fulan adalah 100 tahun jika ia menyambung tali kekerabatannya, dan 60 tahun jika ia tidak menyambung tali kekerabatannya." Sementara itu Allah dengan ilmu-Nya yang azali telah mengetahui apakah si fulan tersebut akan menyambung tali kekerabatannya ataukah ia akan memutusnya.

Jadi, menurut ilmu azali yang dimiliki oleh Allah Ta'ala, umur si fulan tersebut tidak bertambah dan tidak berkurang sedikit pun. Adapun menurut ilmu yang dimiliki oleh malaikat pencatat usia manusia, umur si fulan tersebut bisa bertambah atau berkurang.

Pengertian ini telah diisyaratkan oleh firman Allah Ta'ala: يَمْحُو اللَّهُ مَا يَشَاءُ وَيُثْبِتُ وَعِنْدَهُ أُمُّ الْكِتَابِ "Allah menghapus apa yang dikehendaki-Nya dan menetapkan apa yang dikehendaki-Nya dan di sisi-Nya terdapat ummul kitab (Lauh Mahfuzh)." (QS. Ar-Ra'du [13]: 39)

lmu yang dimiliki oleh malaikat itulah yang bisa mengalami penghapusan atau penetapan sesuai kehendak Allah. Adapun ilmu dalam ummul kitab atau Lauh Mahfuzh adalah ilmu Allah yang tidak mengalami penghapusan sama sekali. Ia bersifat tetap dan berlaku sejak seluruh ala mini diciptakan oleh Allah sampai Allah mewarisinya kembali. (Syarh Shahih Muslim, 16/114, 'Umdatul Qari Syarh Shahih Al-Bukhari, 22/91 dan Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari, 10/416)

Imam Ath-Thibi, Az-Zamakhsyari, qadhi 'Iyadh bin Musa Al-Yahshibi dan Ibnu Hajar Al-Asqalani cenderung menguatkan kemungkinan makna yang pertama.

Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebutkan kemungkinan makna ketiga dari kedua hadis di atas. Makna tersebut seperti disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Ath-Thabarani dalam Al-Mu'jam Ash-Shaghir dengan sanad yang lemah dari Abu Darda' radhiyallahu 'anhu bahwasanya: ذُكِرَ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ وَصَلَ رَحِمَهُ أُنْسِيءَ لَهُ فِي أَجَلِهِ فَقَالَ إِنَّهُ لَيْسَ زِيَادَةً فِي عُمُرِهِ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ الْآيَةَ وَلَكِنَّ الرَّجُلَ تَكُونُ لَهُ الذُّرِّيَّةُ الصَّالِحَةُ يَدْعُونَ لَهُ مِنْ بَعْدِهِ "Disebutkan di hadapan Rasulullah shallallahu 'alaihi wa salam bahwa barangsiapa menyambung tali kekerabatannya, niscaya akan dipanjangkan umurnya. Maka beliau shallallahu 'alaihi wa salam bersabda: "Maksudnya bukanlah tambahan pada umurnya, karena Allah telah berfirman: "Jika ajal mereka telah datang kepada mereka, maka mereka tidak bisa memundurkannya walau sesaat dan tidak pula mereka mampu menyegerakannya."

Akan tetapi maksudnya adalah seseorang memiliki anak-anak keturunan yang shalih, yang mau mendoakan dirinya setelah ia meninggal."

Dalam Al-Mu'jam Al-Kabir, imam Ath-Thabarani juga meriwayatkan dari hadis Abu Musyajji'ah Al-Juhani bahwasanya Nabi shallallahu 'alaihi wa salam bersabda, إِنَّ اللَّهَ لَا يُؤَخِّرُ نَفْسًا إِذَا جَاءَ أَجَلُهَا وَإِنَّمَا زِيَادَةُ الْعُمُرِ ذُرِّيَّةٌ صَالِحَةٌ "Sesungguhnya Allah tidak akan menunda usia seorang pun jika kematian telah datang kepadanya. Akan tetapi yang dimaksud dari penambahan usia adalah anak keturunan yang shalih." (Ibnu Hajar Al-Asqalani, Fathul Bari Syarh Shahih Bukhari, 10/416)

Al-hafizh Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebutkan bahwa menurut imam Al-Furak, yang dimaksud dengan penambahan umur dalam hadis-hadis di atas adalah Allah Ta'ala akan menyingkirkan berbagai macam musibah yang mengancam pemahaman dan akal orang yang melakukan amal kebajikan (yaitu menyambung tali kekerabatan).

Sebahagian ulama lainnya menyatakan berbagai macam musibah yang disingkirkan tersebut bersifat umum, tidak sebatas musibah yang mengancam pemahaman dan akal pikiran orang yang melakukan amal kebajikan. Selain itu, ia juga bermakna turunnya keberkahan atas rizkinya, ilmunya dan hal-hal lainnya. (Ibnu Hajar Al-Asqalani, Fathul Bari Syarh Shahih Bukhari, 10/416)

Imam Ibnu Al-Jauzi Al-Hambali juga menyebutkan sedikitnya lima makna dari hadis-hadis di atas:

Pertama, yang dimaksud dengan penambahan umur adalah dilapangkannya rizki dan dikarunikannya kesehatan badan. Sebab (dalam tradisi bahasa Arab), kekayaan (kecukupan harta) disebut kehidupan, sedangkan kemiskinan disebut kematian.

Kedua, usia seorang hamba —misalnya— ditetapkan oleh Allah 100 tahun dengan masa penyucian jiwa dan amal-amal kebaikan sampai usia 80 tahun. Jika ia telah mencapai usia 80 tahun, maka Allah menambahkan masa-masa beramal kebaikan sehingga ia masih hidup sampai 20 tahun berikutnya. Makna pertama dan kedua ini disebutkan oleh imam Ibnu Qutaibah.

Ketiga, penundaan kematian dan penambahan umur ini pada dasarnya telah selesai dicatat oleh Allah, namun Allah mengaitkan hal itu dengan adanya amalan menyambung tali kekerabatan. Seakan-akan Allah telah menetapkan bahwa usia fulan 50 tahun, lalu jika ia menyambung tali kekerabatannya niscaya ia akan berusia 60 tahun (mendapat tambahan usia 10 tahun, pent).

Keempat, penambahan usia ini berada dalam catatan yang tertulis (yang dicatat dan dibawa oleh malaikat), namun catatan tertuis tersebut tidak mesti sama dengan ilmu yang diketahui oleh Allah Ta'ala. Ilmu Allah tentang akhir dari usia seorang hamba tidak pernah berubah, namun apa yang dicatat oleh malaikatnya terkadang bisa dihapus dan terkadang dipertahankan sebagaimana adanya tanpa perubahan. Sebagaimana firman Allah: يَمْحُو اللَّهُ مَا يَشَاءُ وَيُثْبِتُ وَعِنْدَهُ أُمُّ الْكِتَابِ "Allah menghapus apa yang dikehendaki-Nya dan menetapkan apa yang dikehendaki-Nya dan di sisi-Nya terdapat ummul kitab (Lauh Mahfuzh)." (QS. Ar-Ra'du [13]: 39)

Kelima, penambahan umur adalah dengan diberkahinya umur tersebut dan orangnya diberi taufik untuk mengerjakan amal-amal kebaikan dan mencapai hal-hal yang ia cita-citakan. Dengan demikian, meski usianya pendek namun ia bisa menggapai hal-hal yang baru bisa digapai oleh orang-orang yang usianya panjang."

Imam Ibnul Jauzi Al-Hambali kemudian menulis: "Menurut qadhi Iyadh, maksudnya adalah nama seseorang tetap disebut-sebut oleh lisan masyarakat dengan baik setelah ia meninggal, sehingga seakan-akan ia belum meninggal. Adapun imam Al-Hakim At-Tirmidzi menyebutkan bahwa maknanya adalah ia akan tinggal sebentar saja dalam alam kubur." ('Umdatul Qari Syarh Shahih Al-Bukhari, 11/181-182)

Apakah yang dimaksud dengan tali kekerabatan itu? Para ulama berbeda pendapat tentang hal itu: 1. Sebahagian ulama menyatakan tali kekerabatan adalah setiap orang yang memiliki hubungan darah dan tidak boleh dinikahi. 2. Sebahagian ulama lainnya menyatakan tali kekerabatan adalah setiap orang yang bisa menjadi ahli waris. 3. Sebahagian ulama lainnya menyatakan tali kekerabatan adalah setiap kerabat, baik orang yang tidak bisa dinikahi maupun orang yang bisa dinikahi.

Adapun tentang pengertian dari menyambung tali kekerabatan, imam Badruddin Al-'Aini berkata: "Menyambung tali kekerabatan adalah dengan melakukan amal-amal kebaikan kepada kaum kerabat. Terkadang dilakukan dengan memberikan bantuan harta, terkadang dengan melayani keperluannya, terkadang dengan mengunjunginya dan lain sebagainya."

Qadhi Iyadh bin Musa Al-Yahshibi menjelaskan: "Tidak ada perbedaan pendapat lagi bahwasanya menyambung tali kekerabatan secara umum hukumnya wajib dan memutuskan tali kekerabatan adalah perbuatan dosa besar. Hadis-hadis menegaskan hal ini.

Namun, menyambung tali kekerabatan itu bertingkat-tingkat, Sebahagiannya lebih tinggi dari Sebahagian lainnya. Tingkatan menyambung tali kekerabatan yang paling rendah adalah tidak mendiamkannya dan mengajaknya berbicara, walau sekedar mengucapkan salam kepadanya.

Menyambung tali kekerabatan itu berbeda-beda sesuai dengan kadar kemampuan dan kebutuhan. Ada Sebahagian menyambung tali kekerabatan yang hukumnya wajib dan ada pula Sebahagian menyambung tali kekerabatan yang hukumnya sunah. Seandainya ia melakukan Sebahagian bentuk menyambung tali kekerabatan namun tidak sampai pada bentuk menyambung tali kekerabatan yang paling tinggi tingkatnya, maka ia tidak disebut orang yang memutus tali kekerabatan."('Umdatul Qari Syarh Shahih Al-Bukhari, 11/181)

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 29 Januari 2013.


Monday, 20 February 2012

Mencari kebaikan secara rela atau terpaksa


Dalam hidup ini selalunya kita dipertentangkan antara rela atau terpaksa. Rasa sangat terpaksa untuk ke gymnasium (gym) bagi mengeluarkan peluh, tetapi jika ke gym peluh dikeluarkan, kesihatan terjaga, system kumbuhan berjalan baik. Mana-mana organ yang pasif menjadi aktif dan dapat memproses gula menjadi tenaga dengan baik. Jika dilakukan secara berterusan gejala kencing manis boleh dihindarkan.

Secara “default” memang manusia itu malas, tidak terkecuali dengan diri ini. Memerlukan mujahadah, sedikit perjuangan melawan tarikan negatif. Kalau dibiarkan memang badan ini atau badan-badan lain akan tidur sepanjang hari, namun apa hasilnya? Badan akan semakin lemah, banyak tugasan pribadi dan tugasan pejabat akan ketinggalan.

Sebaik terjaga dari tidur, kita mesti ucapkan syukur kepada Allah s.w.t. kerana telah menghidupkan kita daripada “kematian” (tidur) yang baru kita alami tadi. Elok minum segelas air putih bagi menggerakkan system syaraf kita yang masih pasif ketika baru bangun dari tidur, betulkan minda dengan niat mencari kebaikan pada hari ini. Mencari rezeki yang halal dan mencari ilmu yang bermanfaat untuk dikongsi kepada yang lain.

Jika terjaga lebih awal dari waktu suboh, amalkan solat tahajud dan witr kerana pada waktu itu Allah dan malaikatNya sedang membuat rondaan di bumi dan akan meneliti siapakah ummatNya yang sedang memohon kepadaNya atau merintih dengan segala kesukaran yang dia hadapi. Mohonlah langsung kepada Allah, jangan terlalu mengharap kepada manusia, kerana setiap manusia pun memerlukan bantuan dan pertolongan Allah setiap masa.

Kemudian, rancang kerja atau tugasan harian kita dengan niat mencari redha Allah dan segala apa yang kita lakukan adalah bernilai ibadah. Setiap saat kita membuat audit terhadap semua nilai yang ada pada diri kita, apakah kita ikhlas kerana Allah atau berbuat sesuatu yang melanggar hukum-hakam Allah. Segera bertaubat jika ada dan terus berjanji untuk tidak mengulanginya lagi. Setiap kali kita melakukan sesuatu, lakukan yang terbaik dan memohon kepada Allah agar disempurnakan ahklak kita seperti Allah menyempurnakan rupa paras kita.

Cuba lakukan muhasabah diri dan fikirkan apakah bakat dan kemahiran yang kita ada yang belum ditonjolkan. Bakat-bakat itu sangat penting bagi mendapatkan kehidupan yang sempurna. Lihatlah panduan dalam http://hayatultarbiyah.blogspot.com/ yang telah diutarakan melalui 15 soalan bagi membina misi hidup, kerana setiap kehidupan mestilah mempunyai misi dalam kehidupannya. Hidup muslim sepenuhnya tertumpu kepada mencari redha Allah. Akhirnya setiap manusia mesti mencari cara untuk berdikari, tidak bergantung kepada manusia lain dan hanya tunduk sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Maha Pencipta.

Sebagai seorang muslim solat lima waktu adalah wajib, jika berkesempatan lakukan solat berjamaah di mesjid yang mendapat pulangan pahala 27 kali ganda. Setiap kali solat kita memohon kepada Allah agar diberikan jalan yang lurus yang menuju kepadaNya, bukan jalan orang-orang yang sesat, yang menjadi sahabat syaitan. Jangan sekali-kali melakukan kerja yang sia-sia. Pekerjaan yang sia-sia dapat digolongkan sebagai kerja-kerja yang tidak membawa ketaatan kita kepada Allah.

Setiap kali kita akan melakukan sesuatu, kita harus bertanya, “Apakah yang aku lakukan ini lebih mendekatkan diri kepada Allah atau lebih menjauhkan diri dari Allah?”. Jika semakin menjauh daripada jalan Allah, segera tinggalkan dan bertaubat dan berlindung dengan Allah dari segala kejahatan manusia dan syaitan. Jangan difikirkan tentang hasil lumayan daripada perbuatan yang kita lakukan, sia-sia saja jika hasilnya haram kerana Allah tidak akan redha jika kita memakan hasil daripada kegiatan haram. Hidup mestilah bersih daripada semua larangan Allah daripada sekecil-kecil larangan sehinggalah larangan yang besar.

Melakukan kebaikan itu tidak mudah kerana memang berat melakukan kebaikan, banyak halangan yang kita akan hadapi, halangan itu mungkin dari diri sendiri atau juga daripada manusia lain atau juga dari syaitan yang telah berjanji dengan Allah untuk menyesatkan manusia.

Setiap masa didiklah diri untuk mudah melakukan kebaikan, mudah untuk memberi daripada meminta, cinta kepada kebenaran dan benci kepada kejahatan. Jangan sekali-kali bertemankan orang-orang jahat kerana lambat laun kita juga akan terikut-ikut dengan kejahatan mereka. Berkawanlah dengan orang baik-baik kerana kebaikan mereka Insya Allah, akan meresap ke jiwa kita satu hari kelak.

Lindungilah diri kita dan keluarga kita daripada api neraka yang panasnya tidak ada bandingannya di dunia ini.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 21 Feb 2012.

Saturday, 4 February 2012

Mesti senentiasa bersabar dalam kehidupan rumah tangga

Pada 4 Februari 2012 (Sabtu), berita tentang seorang suami merempuh kereta isterinya sebanyak 40 kali kerana terlalu marah terhadap isterinya telah terpampang di dada-dada akhbar di Malaysia. Ketika ditanya apakah sebabnya beliau terlalu marah, tiada jawapan diberikan daripada si suami.

Mungkin pembaca akan tertanya-tanya kenapa suami itu tergamak bertindak demikian luar biasa sehingga sekurang-kurangnya beliau telah terpaksa mengeluarkan RM8,000.00 akibat daripada merosakkan tembok jiran belum lagi diambilkira memperbaiki kereta isterinya yang rosak terus, dan perbelanjaan mahkamah sekiranya perkara itu sampai ke mahkamah. Sekiranya suami itu berfikir secara waras sebelum bertindak, kerugian yang akan beliau alami tidak akan seteruk itu. Kerugian emosi isteri dan anak-anak yang mengalami peristiwa itu juga akan berlaku selain daripada nilai dirinya terhadap jiran, mertua, dan kawan-kawan tentu akan merosot.

Apakah pengajaran yang dapat kita pelajari dari peristiwa ini? Kita mesti senentiasa bersabar walau dalam keadaan apa sekali pun. Saya cuba membuat satu hipotesis dari kejadian ini iaitu, “JIKA suaminya mengamalkan sikap sabar yang tinggi, MAKA suasana akan dapat dikawal, TETAPI suaminya memilih untuk bertindak ganas yang mengakibatkan kerugian yang besar”.

Ukuran parameter yang membaiki ialah “amal sikap sabar yang tinggi” dan parameter yang memburuk ialah “bertindak ganas dan kerugian”.

Menurut ilmu TRIZ (lihat *Yeoh, TS, et. al. (2009), pembaca boleh mencari ilmu ini melalui bacaan buku atau buat carian google), parameter membaik “amal sikap sabar yang tinggi” boleh dikiaskan kepada, parameter #7, “isi padu objek bergerak”, parameter #9, “kelajuan”, parameter #10, “daya”, parameter #11, “stress atau tekanan”, parameter #15, “jangkamasa tindakan objek bergerak”, parameter #21, “kuasa”, parameter #22, “kehilangan tenaga”, parameter #24, “kehilangan maklumat”, parameter #25, “adaptability atau versatility” dan parameter #37, “kesukaran mengesan dan mengukur”.

Sementara bagi parameter memburuk, “bertindak ganas dan kerugian” boleh dikiaskan kepada, parameter #8, “isi padu objek tetap”, parameter #19, “penggunaan tenaga objek bergerak”, parameter #23, “kerugian bahan”, parameter #25, “kerugian masa”, parameter #26, “kuantiti bahan”.

Apabila dibuat kajian melalui penggunaan Matriks Kontradiksi, kita perolehi cadangan-cadangan yang dapat ditawarkan oleh TRIZ adalah seperti berikut:

1. Perubahan sikap dan tingkahlaku (prinsip #35)
Rumah tangga dibentuk oleh dua orang insan yang bercinta dengan dibantu oleh kedua-dua keluarga isteri dan suami. Jika terjadi sesuatu maka perubahan sikap dan tingkahlaku kepada kebaikan bersama mestilah diusahakan agar suasana rumah tangga itu kekal. Dalam pemilihan prinsip TRIZ, prinsip 35 ini muncul sebanyak 15 kali. Ini bermakna penyelesaian utama dalam rumah tangga ialah hubungan yang baik antara suami dan isteri. Suami sebanyak kapten kapal rumah tangga mestilah bertindak dewasa dalam semua keadaan.

2. Getaran Mekanikal (prinsip #18)
Prinsip ini muncul sebanyak 14 kali ketika pemilihan prinsip dibuat dan menunjukkan prinsip ini memainkan peranan yang penting dalam hubungan rumah tangga. Apakah yang dimaksudkan dengan getaran mekanikal atau “mechanical vibration”. Suami dan isteri mestilah mempunyai saluran komunikasi yang baik melalui belaian dan kasih sayang, sering bersama dalam membina kesefahaman, mesti ada getaran mekanikal apabila isteri melihat suami dan juga apabila suami melihat isteri. Getaran ini bukan dapat dibina dalam sehari dua, tetapi memakan masa yang lama untuk serasi. Jalinan kasih sayang antara keduanya mesti kukuh terbina dengan sentuhan dan belaian.

3. Tindakan proaktif (prinsip #10)
Prinsip ini pun muncul sebanyak 14 kali dalam matriks kontradiksi TRIZ, dan ini menunjukkan prinsip ini memainkan peranan yang sangat bermakna. Rumah tangga itu bukan bermula sejak proses menikah, tetapi sejak mencari pasangan lagi dan Islam member panduan, kahwinilah wanita (pria) atas dasar kecantikan, kebangsawanan, kekayaaan dan agama.Pilihlah yang beragama. Kekuatan Iman dalam beragama akan membimbing rumah tangga menjadi rumah tangga sakinah. Tindakan proaktif ini mesti dimulai sejak awal dan dengan teliti.

4. Oksigen kuat (prinsip #38)
Prinsip ini muncul sebanyak 7 kali dalam analisa matriks kontradiksi yang menunjukkan suatu cadangan yang serius dalam hal ini. Dalam Bahasa Inggeris, prinsip ini dinyatakan sebagai “Strong oxidants (enriched atmosphere / accelerated oxidation)”. Dalam hal rumah tangga hal ini bermakna suasana rumah tangga hendaklah selalu diperbaharui dan diperkayakan dengan keadaan kebersamaan, mungkin melakukan perkelahan keluarga untuk menghasilkan suasana kekeluargaan dan ukhuwwah dalam keluarga. Saling meneguhkan ikatan kasih sayang dengan mencipta suasana baru dalam kehidupan.

5. Gantian Mekanikal (prinsip #28)
Prinsip ke-28 ini berulang sebanyak 7 kali, ini membawa makna bahwa prinsip ini berperanan kuat dalam membantu keharmonian rumah tangga. Dalam Bahasa Inggeris prinsip ini disebut sebagai “Mechanical substitution”, dalam bukunya Dr Yeoh, pada mukasurat 66, ada menyebut tentang menukar cara mekanikal dengan cara deria (sensory) yang termasuk rasa (taste) dan bau (smell). Ini mungkin membawa makna, si isteri sebagai factor penarik dalam hubungan rumah tangga hendaklah senentiasa dalam keadaan tersenyum, cantik dan berbau wangi ketika suami pulang ke rumah sehingga membuat rumah tangga sebagai syurga kehidupan. Mungkin juga isteri dapat menyediakan makanan yang digemari suami sambil menyambut kepulangan suami dari kerja.

6. Transisi fasa (prinsip #36)
Prinsip yang ingin dikemukakan ini iaitu transisi fasa (phase transistion) muncul sebanyak 6 kali dalam analisa matriks kontradiksi. Rumah tangga mengalami beberapa fasa perubahan berdasarkan umur rumah tangga itu. Ketika masih fasa permulaan aroma percintaan itu masih ujud dengan teguh sehingga insan yang sedang bercinta ini dapat melaluinya dengan tenang. Apabila ada anak, keperluan rumah tangga kepada perhatian suami isteri dan keperluan harian meningkat, maka fasa ini menguji kesetiaan kasih sayang suami isteri. Pengorbanan diperlukan. Jadi, prinsip ini mencadangkan agar suami dan isteri menyedari akan berlakunya perubaha fasa dalam kehidupan rumah tangga dan selalu berbincang untuk mengatasi gejolak rumah tangga dengan baik dan berusaha mencari penyelesaian bersama demi tumbesaran (tumbuh dan membesar) anak-anak.

Itulah sekedar sedikit sumbangan kepada keharmonian rumah tangga yang pada mulanya bergerak atas dasar saling mencintai, namun apabila waktu beredar fasa baru dalam kehidupan rumah tangga memerlukan perhatian dan kreativiti suami-isteri untuk menanggani segala hiruk pikuk rumah tangga, hanya kapten yang bersikap matang dan mempunyai daya kepimpinan yang unggul akan dapat melayarkan bahtera rumah tangga dengan selamat.

Kapten rumah tangga yang bijak dengan dibantu awak-awak kapal yang bekerjasama akan dapat menyelamatkan bahtera rumah tangga daripada terlanggar terumbu karang tajam yang tidak kelihatan dari atas dek bahtera.
Sama-samalah kita renungkan hal ini.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 5 Feb 2012.

*Yeoh, T.S, et. Al. (2009), Theory of Inventive Problem Solving TRIZ, Firstfruits Publishing.