Saya akan bercerita dari masa ke semasa berdasarkan ingatan saya yang sangat terbatas ini. Mudah-mudahan catitan-catitan ini berguna kepada generasi muda yang memerlukan bimbingan daripada yang berpengalaman.
Sunday, 11 September 2011
Jangan lari kalau pelita tak lari
Nak tergelak sendiri bila teringat telatah PakSu Tayeb. Lucu dan bersahaja. Dulu ketika kecil, kami duduk dalam satu bulatan dan bersedia betul nak dengar cerita lucu PakSu Tayeb. Cerita yang paling kami takut ialah cerita hantu dan waktu bercerita pula malam. Waktu itu mana ada letrik, jadi ke mana-mana kami bawa pelita minyak tanah. Mencacak bulu roma bila PakSu memulakan cerita. Sayangnya ruangan ini bukan untuk cerita seram tapi hanya untuk bernostalgia tentang itu saja. Jika anda peminat cerita seram banyak tulisan yang ada kaitan dengannya di ruangan yang lain.
Pekan Kg Lalang sudah dikira mati apabila magrib menjelang. Masing-masing akan pulang ke rumah atau kalau ada kenduri arwah kita akan berkumpul di rumah berkaitan. Cara berkomunkasi pula melalui bercerita dalam kelompok kecil. PakSu Tayeb ketika itu tinggal di Kg Baru, bersebelahan dengan rumah abang sulungku. Sekarang mungkin sudah tidak ada semacam “halaqah” kecil untuk bercerita penglipur lara sebab masing-masing sudah sibuk dengan facebook masing-masing. Atas alasan itu aku menulis cerita-cerita pendek ini sebagai kenangan.
Abangku pula yang nama sebenarnya Azmi, mendapat gelaran di kalangan orang kampong sebagai Awang Bandung. Mengikut cerita, ayahku yang bernama Abdullah dipanggil Che Nuh, jadi kalau ada yang bertanya tentang Awang abangku itu, orang akan berkata Awang Che Nuh. Ada juga mereka yang sebaya dengan ayahku memanggil ayahku sebagai Bang Nuh. Kalau mereka ingin bertemu dengan abangku, mereka akan sebut Awang Bang Nuh. Lama kelamaan susah sangat nak sebut Bang Nuh, katanya mereka meringkaskan menjadi Bandung. Maka, menurut yang empunya cerita terjadilah nama Awang Bandung itu. Wallahu A’lam.
PakSu Tayeb kalau berbelanja ke kedai di Kg Lalang akan singgah ke rumahku dan ketika itulah kami mendesak PakSu Tayeb untuk bercerita macam-macam. Jarang sekali PakSu menolak permintaan kami, apa lagi kalau kami “jek” dia sikit dengan mengatakan cerita PakSu bestlah… Beliau pun akan mula bercerita dan kami yang kecil-kecil ketika itu berasak-asak dan berhimpit-himpit nak dengar cerita PakSu. Aku mengambil kesempatan ke dapur meminta kakakku menyediakan kopi untuk PakSu, kalau tak PakSu akan cepat mengantuk. Kami buat kopi “keras” buat PakSu biar matanya celek dan meneruskan ceritanya.
“Kalau Nampak hantu….”, belum sempat PakSu meneruskan cerita kami dah bertempiaran mendekati PakSu, ketika itu PakSu hanya tersenyum, sambil meneruskan gulungan rokok “chor”nya beliau membetulkan duduknya sambil akan meneruskan bicara. Rokok “chor” ialah rokok daun yang tembakau digulung di dalamnya. Sesekali dia menghidupkan pemetik api bagi menyalakan rokok “chor”nya itu dan meneruskan ceritanya sambil menyedut rokok “chor”nya yang baru dihidupkan.
“Waktu itu kalu mu pegang pelita ni ….. “ sambil beliau memegang dan menunjukkan pelita minyak tanah yang masih menyala kepada kami, “… jangan lari kalau pelita ni tak lari…” PakSu meneruskan bicaranya. Kami pun mengangguk-angguk mengiyakan nasihat PakSu Tayeb itu. Lawak sungguh PakSu ni fikirku. Mana ada pelita nak lari sendiri kalau kita tak bawa dia lari. Sebab itu aku selalu nak tergelak bila teringat pesanan PakSu Tayeb yang ini.
Dalam serius bercerita tentang hantu, dia buat lawak pula. Lawaknya pun betul juga, supaya bila ternampak kelibat hantu jangan cepat-cepat nak lari sebab belum tentu hantu, mungkin ada ayam yang tidur atas pokok kopi terjaga bila kita lalu di bawahnya. Juga, mungkin ada musang yang sedang mengendap ayam dalam reban.
Aku selalu berdoa agar jangan dijumpakan dengan hantu sebab takut tak cukup padang nak berlari, lagi pula aku tak pernah jumpa hantu pun seumur hidupku dan selalu mohon kepada Allah agar jangan dijumpakan dengan hantu. Ayahku pernah bercerita dia ternampak hantu tergantung di pokok besar, kecut juga aku mendengar cerita itu.
Setiap kali aku pulang mengaji dari rumah Kak Mah yang terletak kira-kira 700 meter dari rumahku, aku mula perjalanan dengan membaca tiga kul, “qul huwallahu ahad”, “qul aun zubirabil falaq” dan “qul aun zubirabin nas”.
Itulah sedikit kenangan dengan arwah PakSu Tayeb, ayah kepada Bang Deris sahabat karib abang Ahmadku.
Ismail Abdullah, Teras Jernang, 11 September 2011.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment