Friday, 9 September 2011

Siapa menyelam paling lama

Aku paling malas nak pergi mandi di sungai ketika pagi hari persekolahan. Jarak rumahku dengan sungai hanya 200 meter. Sejuk pagi di kampongku sangat terasa, nak tunggu matahari memancarkan sinarnya bererti lambatlah ke sekolah. Kalau lambat berdiri atas kursilah jawabnya. Guru kelas kami sangat garang.Biasanya kami berderet-deret ke sungai pada waktu pagi, masing-masing dengan tuala dan kain basahan.

Kadang-kadang bila lupa tuala, dengan kain basahan sajalah kami ke sungai pagi-pagi itu. Tuala agak tebal, tetapi kain basahan tu nipis sikit dan dipakai ketika mandi sebab sungai ialah tempat awam. Kain sarung ku selimutkan ke tubuh dan berjalan ke sungai dalam kadar cepat sebab sejuk sangat. Apabila sampai di tebing sungai masing-masing akan berderet menghadap air sungai yang mengalir. Masing-masing dalam kesejukan dan tak mahu mulai mandi. Kadang-kadang ada teman-teman kami yang nakal, menolak kami ke sungai dan terpaksalah mandi walau pun kesejukan menggigil. Gosok badan ala kadar kemudian cepat-cepat naik dan balik rumah. Biasanya tak sempat nak pakai sabun badan pun, asal badan kena air, sudah selesai acara mandi pagi.

Sampai di rumah, pakai uniform sekolah dan terus jalan kaki ke Sekolah Kebangsaan Siong yang jaraknya dari rumah kami sekitar 900 meter. Kadang-kadang kerana dah lambat tak sempat makan pagi pun. Ada ketika aku terpaksa berkaki ayam sebab kasut basah atau ayah tak sempat nak beli kasut baru, al-maklumlah ketika itu wang susah sangat. Memotong getah, kerja harian Ayahku hanya dapat beberapa ringgit saja sehari. Bersawah padi dapatlah sedikit sebanyak mengurangkan perbelanjaan harian ayahku.

Dalam perjalanan ke sekolah, dalam malu-malu dan diam-diam aku menjengok juga ke deretan berek polis kot-kot terpandang Sofiah yang ku minati. Dia anak polis yang baru pindah dan cantik orangnya. Tak tahulah masa itu aku cinta ke atau saja-saja syok kat dia saja, atau dalam keadaan cinta monyet. Manalah tahu kot-kot boleh beriringan dengan dia ke sekolah. Tapi wajahnya termimpi-mimpi dalam tidurku dan ingatan terhadapnya tidak lekang ketika itu. Orangnya tinggi lampai, kurus, apabila bercakap nampak lesung pipit menghiasi pipinya dan nampak moden sikit, kami selalu gelar mereka orang luar, maknanya mereka datang dari luar kampong kami.

Hampir semua orang kampong kami adalah di kalangan suku sakat keluarga kami turun temurun. Kalau ada yang datang dari luar, kami namakan mereka sebagai orang luar. Ketika ku kecil, tak ramai pun orang luar datang ke kampong kami, sebab tak ada panggung wayang atau hiburan apa-apa pun. Sejak ku ke sekolah menengah wajah Sofiah sedikit demi sedikit hilang dari ingatan ku akibat tumpuan ku kepada buku-buku sekolah. Hingga sekarang pun aku tidak tahu di mana Sofiah berada.

Apabila loceng jam satu berbunyi, hatiku begitu gembira kerana sekolah dah tamat pada hari itu dan aku sungguh teruja menghadapi kegiatan petang bersama kawan-kawanku. Apa lagi selepas makan tengah hari kami bebas, untuk main terjun sungai.

Dari tepi sungai, kami mengambil sedikit jarak dan berlari deras menuju tebing sungai dan membuat “free fall”, mendentum badan kami menghentam permukaan air sungai. Air sungai memercik berbagai arah. Kami gembira sungguh. Kemudian, berlari-lari naik ke tebing dan mengulangi lagi acara tadi bergilir-gilir. Wajah masing-masing gembira dan bersungguh-sungguh. Air sungai cukup dalam untuk buat penerjunan bebas. Kadang-kadang kepala dulu menjunam dan kadang-kadang dengan badan saja. Macam Tarzan Johny Weismuller dalam filem Tarzan yang popular ketika itu.

Ada ketika aku dan kawan-kawan berlawan siapa selam paling lama. Bila kiraan satu, dua dan tiga dibuat kami pun menenggelamkan badan dan bertahan di bawah air selama yang boleh. Ketika itu aku mengambil kesempatan memerhatikan persekitaran dalam sungai yang sungguh jernih. Nampak jelas akar kayu dari pokok yang berada berhampiran lubuk tempat kami mandi itu. Pasir di bawahnya putih melepak dan ada batu-batu kecil di dasar lubuk itu. Kadang-kala ada ikan yang lalu lalang di depan kami, tak upaya nak tangkap sebab ikan menyelinap dengan pantas sekali.

Biasanya kami tak kira pun siapa yang menang, yang penting seronok mandi sungai. Lama-lama mata jadi merah sebab lama sangat membuka mata dalam air. Kira-kira sejam atau lebih sikit kami pun balik sebab malam nak pergi mengaji rumah Kak Mah pula. Lagi pula aku amat tak suka kalau yang datang menjemput kami di sungai itu ayahku sebab di tangan beliau tentu ada rotan yang hujungnya sudah berkecai. Aduh sakit sangat kalau kena tibai (pukul). Sesekali kena juga rotan, tak boleh nak elak sebab syok sangat main sungai sampai lupa nak balik rumah.

Waktu cuti hujung minggu, kami mula main agak pagi sikit. Aku dan kawan-kawan suka main kotak. Biasanya kami kutip kotak sigeret (cigarette) yang dibuang merata-rata setelah isinya habis diisap oleh pemiliknya. Kotak rokok John Players, dan lain-lain kami kumpul, ratakan dan ikat. Cara bermain ialah masing-masing pemain keluarkan sepuluh kotak dalam simpanan masing-masing dan susun kotak-kotak itu dalam satu barisan melintang. Dari garisan susunan kotak-kotak seperti keretapi itu, semua pemain membaling batu leper ke arah depan, siapa baling paling jauh dia yang mula lemparan. Kemudian yang dekat sikit dan seterusnya. Selalunya kami sasarkan kepala kotak, jika kena kepala kotak semua kotak sebaris itu dapat kepada pemain yang membaling tepat kena kepala kotak. Kalau batu kita hanya kena sebahagian daripada barisan kotak itu, kita boleh ambil daripada tempat yang terbalik oleh batu itu hingga kotak terakhir. Siapa yang paling banyak dapat mengumpulkan kotak dialah yang kaya. Pada sesi permainan berikutnya masing-masing akan membawa himpunan kotak masing-masing dan terus memulakan permainan. Lapangan permainan biasanya pada rumah yang halamannya luas dan panjang. Biasanya kami ikat himpunan kotak-kotak itu menggunakan getah gelang. Ada kalanya, pemain terakhir tak dapat bermain pun sebab semua kotak-kotak sudah dapat diambil oleh pemain yang pandai yang jalan lebih awal daripadanya.

Melalui system ini, yang pandai main akan dapat mengumpulkan kotak lebih banyak dan yang kalah terpaksalah merayau mencari kotak baru untuk memenuhi bank kotak masing-masing. Seronok juga main kotak ini sebab ianya memerlukan kemahiran membaling batu leper dengan tepat. Biasanya batu leper itu kita jatuhkan betul-betul di hadapan kepala kotak dan longsoran batu itu akan mengenai kepala kotak atau di belakang sedikit daripada kepala barisan kotak-kotak itu. Kalau mis kepala kotak bermakna tak dapat apa-apalah. Sebab itu kita selalu aim antara kepala kotak dan beberapa kotak selepasnya. Jadi taklah rugi sangat, jangan tamak sebab nanti rugi banyak pula nanti.

Insya Allah, permainan lain pula akan menyusul nanti.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 9 September 2011

No comments:

Post a Comment