Friday, 9 September 2011

Panggung wayang Ma’nikam


Kalau anda ke Pekan Kampong Lalang sekarang, panggung wayang gambar (pawagam) Ma’nikam sudah tinggal tapak saja. Dulu ianya terletak pada kawasan sebelah kanan jalan tar ke Kampong Carok Bunting dari Pekan Kampong Lalang. Ditutup selepas beberapa tahun beroperasi. Berhampiran pawagam itu ialah tapak Pekan Selasa Kampong Lalang yang memanjang hingga ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) pada hujungnya.

Pada belokan akhir jalan selepas SRJKC, terletak sebuah Menaksah (Madrasah) yang telah diwakafkan oleh Datukku Abdullah, datuk sebelah emak untuk kegunaan masyarakat tempatan melakukan solat waktu berjamaah. Tahun-tahun 1960 hingga tahun 1963, pawagam dan Pekan Selasa masih berjalan rancak. Pada sebelah depan pawagam, menghadap ke jalan Kg. Lalang – Weng ketika itu berdiri indah sebuah rumah Banglo kepunyaan Tok Panglima, di depan rumah ada kedai barangan runcit dan sebuah kedai menjual getah kepunyaan Tok Panglima juga. Pawagam dan Pekan Selasa, tempat manusia berhimpun itu akhirnya mati tanpa aku mengetahui sebab musababnya.

Setiap jam Pekan Kg Lalang ditiupkan debu daripada Bas Baling Kulim Transport yang melalui jalan utama yang menghubungkan Weng, Charok Puteh, Batu Lapan di utara dan Kg Lalang, Siput, Terabak, Bongor dan terus ke Baling di sebelah selatan. Ada pula bas dari syarikat yang sama membawa penumpang dari Baling ke Kulim melalui Pulai, Kupang, Kuala Pegang, Kuala Ketil, dan Lunas hinggalah ke Kulim sebagai destinasi terakhir. Bas antara Baling ke Batu Lapan dan antara Baling ke Kulim masih beroperasi sehingga sekarang. Aku selalu menggunakan perkhidmatan bas ini kalau mau ke mana-mana dalam route yang dilalui bas tersebut. Aku kerap ke Baling, dan ketika belajar di Sekolah Sultan Badlishah selalu menggunakannya dari Lunas ke Baling dan kemudian ke Kampong Lalang ketika bercuti.

Kali ini aku ingin bercerita sedikit nostalgia pawagam Ma’nikam itu. Struktur bangunan pawagam itu sangat sederhana. Sebuah bangunan panjang satu tingkat dengan pentas yang memuat layar puteh sebagai skrin tayangan di bahagian hadapan panggung. Pada sebelah belakang bangunan ada bahagian yang memunculkan sebuah projector yang akan menayangkan filem pada malam-malam tertentu. Pentas itu juga digunakan untuk acara-acara sambutan yang lain. Panggung itu tidak ada aircon, hanya yang ada kipas untuk mengimbangi hawa panas dalam pawagam tersebut. Macam-macam jenis filem ditayangkan. Aku suka menonton filem Hindustan, terutama lakonan Dev Anand, Shammi Kapoor, dan Raj Kapoor. Heroin pula aku suka tengok lakonan Vijayantimala, Asha Parikh, dan Madhu Bala. Kalau cerita sedih akan terbawa-bawa hingga keluar pawagam.

Biasanya aku tak bayar tiket pun sebab PakSu Ahmad, adik ayahku yang jaga pintu pawagam. Bila filem hampir nak ditayangkan, aku berdiri dekat dengan pintu dan bila PakSu kernyit mata aku pun melompat masuk. Biasanya panggung tak penuh, jadi aku selesa memilih kerusi yang paling depan sekali, orang yang ada nombor tiket tak akan ganggu aku ketika itu. Kadang-kadang “free seating”, jadi yang masuk “free” macam aku taklah gelabah sangat.

Kalau filem Hindustan yang ada adegan berlawan pedang, sebaik saja hero keluar dengan menaiki kuda puteh, penonton memberikan sorakan yang gemuruh. Kami selalunya pasti hero akan menang. Kami juga selalu menunggu-nunggu kehadiran keretapi dalam filem Hindustan, sebab kalau tak ada keretapi seperti tak sah filem Hindustan. Ada juga tayangan filem Barat yang romantic dan perkelahian ala “cowboy”, adegan tembak menembak macam real. Beberapa tahun kemudian, semua itu hanya tinggal kenangan saja.

Aku masih ingat di sekitar tahun 1960, telah diadakan Peraduan Syarahan bulan bahasa di atas pentas pawagam. Aku masuk bertanding, mungkin kerana tidak ada calon lain yang boleh bercakap aku dapat tempat pertama. Happy sangat masa tu, tapi aku dah tak ingat siapa dapat nombor dua dan tiga. Sebenarnya aku masuk bertanding pun pakai hafal teks saja. Naik pentas, beri salam dan teruskan dengan hafalan yang telah aku sediakan beberapa minggu sebelumnya. Buatlah sedikit latihan depan guru dan kawan-kawan, tetapi gementar juga pada malam persembahan ucapan itu.

Pada hari Selasa sewaktu cuti sekolah aku membantu ayahku menjual cendol di Pekan Selasa Kampong Lalang. Aku buat tak kisah saja bila ada kawan-kawan sekelas perli. Nak malu apa, nak cari duit tambahan untuk membantu keluarga. Hari-hari lain masa cuti sekolah aku turut juga membantu ayah dan ibuku menoreh getah di kebun getah kami. Terisi juga masa cuti sekolahku dengan kegiatan-kegiatan yang bermacam-macam itu.

Sewaktu Sekolah Kebangsaan Siong diperbesarkan sekitar tahun 1960, kami menumpang kelas di rumah Tok Panglima. Waktu itu guru kelas kami ialah CikGu Abdul. Badannya gempal dan garang. Kami semua takut kalau dia mengajar. Dia akan tanya sifir, kalau tak ingat, kami akan berdiri atas kursi selagi tak ingat sifir yang dia minta disebut. Kini tak payah nak ingat sifir lagi sebab ada kalkulator. Tapi kalau ingat sifir fikiran jadi cergas dan cerdas sebab dengan sekali petik saja sudah dapat jawapan. Guna kalkulator mungkin lambat sikit.

Yang masih aku ingat kawan sekelas ialah Majid (selalu pakai pensil panjang), Che Omar, Siti Hajar (MakSu, adik bongsu Ibuku), Maryam Yaakob (kemudian jadi kakak ipar kerana berkahwin dengan abang sulongku), Rahmah, Mukri, Jamaluddin (anak Tok Panglima), dan Salmiah yang cantik sangat ketika itu. Pipinya kemerah-merahan dan kalau marah sangatlah manisnya. Sayang, dah ada “boyfriend” ketika itu, kalau belum ada “boyfriend” pun tak berani nak “tackle” sebab cantik sangat, takut-takut tak dilayan, malu pula nanti. Perasan dalam hati sajalah ketika itu. Akhirnya aku dengar Salmiah kawin dengan salah seorang guru sekolah rendah kami. Semoga berbahagia.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 9 September 2011.

2 comments:

  1. Terima kasih Prof kerana menulis berkaitan Tok Panglima Awang. Saya cucunya. Terharu dapat baca memori macam ni berkenaan beliau walaupun tak lahir semasa hayatnya.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih prof tulis sejarah kg lalang dan tok panglima Sya cicitnya

    ReplyDelete