Saya akan bercerita dari masa ke semasa berdasarkan ingatan saya yang sangat terbatas ini. Mudah-mudahan catitan-catitan ini berguna kepada generasi muda yang memerlukan bimbingan daripada yang berpengalaman.
Thursday, 8 September 2011
Sesi ingat kembali
Waktu kecil memang aku bertenaga lebih. Paling aktif ketika umur antara 10 hingga 12 tahun mengharungi kehidupan kampong yang masih dipenuhi hutan. Paling seronok ketika cuti penggal atau cuti hujung minggu.
Ketika itu kami buat senapang dari buluh dan pelurunya dari buah jemaron, macam buah cherry, tapi keras sikit. Kadang-kadang kami guna kertas surat khabar yang dilumatkan menjadi kecil sehingga boleh masuk ke lubang buluh. Penolaknya pula dari buluh yang dikecilkan sehingga cukup-cukup masuk ke lubang buluh yang besar sikit. Biasanya aku pegang laras senapang dengan tangan kiri dan penolaknya yang sendat dalam buluh dengan tangan kanan. Kami pun memulakan aksi perang dengan berselindung di sebalik belukar.
Ada kejadian lucu yang sehingga hari ini aku tidak boleh lupa ialah ketika kami bermain perang-perangan sekumpulan orang yang sedang asyik bermain pakau, sejenis permainan daun terup lari bertempiaran, mereka sangka kami mata-mata (polis ketika ini). Ketika itu adalah satu kesalahan bermain pakau dengan taruhan wang, jadi mereka main secara sorok-sorok dalam belukar dan di bangsal-bangsal.
Ada ketika kami bermain lastik burung atau lastik apa saja sebagai permainan kampong, satu cabang berbentuk “Y” yang teguh dikikis elok-elok, ada pemegang dan pada dua ujung diikat sekeping getah yang agak panjang sebagai pemegang batu yang akan dijadikan peluru lastik. Rupanya kini kaedah lastik yang kami guna dulu dipakai oleh orang Palestin melastik Israel laknatullah.
Ketika aku asyik melastik burung, seseorang menangkap tanganku erat dan berkata, “Mari ke balai”. Dalam ketakutan aku meronta-ronta kerana belum pernah seumurku ditangkap polis.
“Awak yang lastik kena cermin kedai Cina ya”, tuduh mata-mata tadi. Rupa-rupanya batu yang aku guna untuk melastik burung melantun tinggi dan ketika jatuh terkena cermin atap kedai Cina yang berada pada deretan utama Pekan Kampong Lalang, kampong kami itu.
Apa lagi aku meronta-ronta dan minta maaf banyak-banyak pada mata-mata itu dan berjanji tak melastik lagi di kawasan berhampiran kedai-kedai.
Yang paling aku seronok ialah menembak ikan dengan senapang besi. Badan senapang dibuat daripada kayu, tetapi pelurunya besi, pada pangkal peluru panjang besi itu diikat dengan tali supaya peluru tak hilang dan boleh tembak lagi kalau tak kena. Hujung peluru dibuat tajam supaya bila kena ikan akan meletak pada badan ikan. Penarik peluru pula ialah getah yang diikat pada hujung senapa kayu itu. Bahaya permainan ini, kalau ayahku tahu tentu rotan panjang yang terselit di bahagian atas rumahku mendarat di kaki. Kerana degil beberapa kali rotan itu mendarat juga di kaki dan badanku.
Ketika bulan puasa dan kebetulan cuti sekolah, kami pindah buat sementara ke kawasan sawah ayahku. Jaraknya kira-kira 5 kilometer dari rumahku di Pekan. Di kawasan sawah ayahuku ada sebuah dangau (rumah kecil) yang dibina untuk tidur dan rehat ketika penat bekerja. Pada bahagian atas kawasan sawah ayahku ada sekitar 10 batang durian, beberapa pokok langsat, rambutan dan salak dan pada bahagian bawah barulah ada petak-petak sawah yang dikerjakan dengan bantuan kerbau.
Ketika itu aku suka sekali mencari ikan Karing (ikan laga) yang bersembunyi pada lopak-lopak sawah, kalau ada lopak yang berbuih putih pada ujung lopak itu pasti ada ikan Karing. Aku dengan cermat menanguk ikan Karing yang tak terdaya itu dan masukkan dalam sebuah bekas besar, nanti bila sampai di rumah atau di dangau aku pindahkan ke botol-botol kecil, satu ikan satu botol. Tak boleh ada dua ekor ikan Karing dalam satu botol sebab mereka akan bergaduh besar. Botol-botol itu dideretkan dan dipisahkan dengan sekeping kertas di antaranya. Bila kita nak lihat mereka berlawan kita angkat kertas itu dan mengembanglah ekor ikan Karing masing-masing menunjuk kekuatan masing-masing. Cantik sungguh ekor ikan Karing yang kembang penuh. Aku akan asyik beberapa ketika melihat perlawanan ikan karing sebelum dipanggil ibu atau ayahku untuk membantu mereka.
Biasanya apabila malam menjelang tiba, kegiatan harian aku dengan ibuku ialah bercerita pasal hari berkaitan. Ibuku akan meminta aku bercerita semua peristiwa yang aku lalui hari-hari berkaitan. Aku pun mulalah bercerita dari mula aku bangun tidur dan dengan bangganya menceritakan segala kejayaan dan kegagalan kegiatanku pada hari berkenaan sehinggalah aku akan tidur di samping ibuku untuk bercerita itu. Ada ketika ibuku menyampuk dengan bertanya itu dan ini, tetapi kerana penat bekerja ibuku akan tidur terlebih dulu. Aku tanpa menyedari ibuku sudah tertidur, meneruskan ceritaku hingga akhir. Kadang-kadang bila aku sedar ibuku sudah tertidur aku menamatkan ceritaku lebih awal.
Itulah yang ibuku lakukan setiap hari ketika aku akan tidur dan berterusan sehingga kami berpisah sementara ketika aku akan ke sekolah menengah. Apabila aku dewasa dan berpeluang membaca beberapa buku tentang pembelajaran, aku dapati kaedah ibuku ini hampir sama dengan kaedah refleksi, muhasabah, ingat kembali, simulasi dan beberapa kaedah yang hampir sama yang bertujuan agar kita ingat kembali peristiwa yang telah berlalu dan dengan cara itu mengukuhkan ingatan kita. Ketika itu manalah ibuku tahu tentang semua teori itu. Dia hanya ingin bersama anak kesayangannya sebelum melelapkan mata dan sementara menunggu mata terpejam diisi dengan kegiatan bercerita peristiwa harian. Kaedah ini dijalankan secara natural dan tidak dibuat-buat atau dirancang.
Rupanya kaedah ini pun aku gunakan ketika mempelajari matematik baik di peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan PhD. Biasanya kalau aku tidak tahu menyelesaikan sesuatu masalah matematik dan ternyata penyelesaian masalah itu ada dalam buku. Aku tidak menyalinnya tetapi membaca dan menutup buku itu dan cuba ingat jalan kerja dan menghayati kenapa begini dan kenapa begitu dari masaalah yang diselesaikan itu. Proses tutup-buka itu berlaku berulangkali sehingga aku betul-betul faham dan menghayati jalan penyelesaian masalah matematik itu. Aku namakan kaedah ini sebagai “Kaedah Selak” ketika menyampaikan kaedah ini kepada pelajar-pelajarku. Perkataan “Selak” kena baca dengan kaedah e biasa, bukan e tanda, kalau dengan e tanda akan jadi penahan pintu pula. Aku harap kaedah e tanda ini diaktifkan semula agar tidak keliru dalam sebutan perkataan.
Itulah sekelumit kisahku waktu kecil.
Ismail Abdullah, Teras Jernang, 9 September 2011.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment