Tuesday 2 August 2011

Bandung dalam lipatan sejarahku – Siri Kedua

Ringkasan Siri Pertama: kami ditempatkan di Hostel Rawamangun, Jakarta selepas tiba dari Malaysia pada tahun 1970. Kemudian baru dipindahkan ke Bandung, saya mendapat biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk pengajian selama lima (5) tahun. Indekos di rumah Dr Hasnil Basri dan Ibu di Jalan Flores No. 4, Bandung dan berkuliah di Jurusan Matematika, Fakulti Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (MIPA). Bergiat bersama jamaah Mesjid Istiqomah sejak sampai di Bandung.

Siri Kedua
Setelah tinggal selama lebih kurang setahun di rumah Pak Hasnil, tepatnya pada bulan Jun 1971, kami berpakat untuk menyewa rumah di Jalan Jalak, di sebelah utara sedikit dari Gedung Sate. Tinggal bersama saya pada ketika itu ialah Ismail Mohd, Abdul Manan Jais, dan Mohd Nordin Garif

Kami ingin hidup berdikari, itu motif utama kami mengambil keputusan untuk menyewa rumah dan tidak lagi tinggal bersama keluarga angkat. Di sini disebut “kontrakan” sebagai istilah kita menyewa rumah untuk tinggal. Sewa kena bayar diawal tahun bagi kontrakan setahun. Jadi tiap bulan kami wajib buat simpanan untuk membayar sewa tahun berikutnya.

Ketika itu tukaran satu ringgit Malaysia (RM) ialah 125 rupiah wang Indonesia. Sebulan biasiswa dua ratus tiga puluh ringgit Malaysia (RM230) akan menjadi dua puluh lapan ribu tujuh ratus lima puluh rupiah (RP28,750.00). Lumayan untuk hidup satu bulan di Bandung. Pada mulanya, kami sering pergi ke alun-alun di tengah Kota Bandung untuk makan nasi padang yang sesuai dengan lidah Melayu, namun lama kelamaan terasa mahal pula. Kami mula bertukar makan makanan Sunda yang banyak sayur-sayuran, saya sangat suka tahu dan tempe yang banyak gizinya.


Kenderaan utama untuk ke mana-mana di Bandung ketika ini ialah beca dan angkot, singkatan untuk angkutan kota. Kalau ingin ke destinasi yang agak jauh kami terpaksa mengambil beberapa angkot bergantian. Kalau dekat, cukup dengan menggunakan beca saja. Mudah sangat mendapatkan beca atau angkot, sebab di mana-mana simpang jalan pun ada abang atau mang beca menunggu.

Solat suboh berjamaah selalu saya lakukan di Mesjid Titiran, sebuah mesjid yang berada di hujung Jalan Jalak. Biasanya solat Zuhor dan Asar, kami lakukan di Mesjid Salman, ITB. Di Mesjid Titiran saya bertemu dengan Kang Soemarna, istilah Kang ialah abang dalam bahasa Sunda, iaitu bahasa utama propinsi Jawa Barat. Saya bersahabat baik dengan beliau, mungkin kami serasi. Pernah sekali Kang Marna membawa saya pulang ke kampongnya di Tasik Malaya dan meminta saya memperdengarkan bacaan Al-Quraan di khalayak ramai. Mungkin dia pernah mendengar saya membaca Al-Quraan di Mesjid Istiqomah dalam acara kuliah subuh hari minggu atau dalam acara-acara lain di Mesjid Istiqomah. Gementar juga saya seketika, namun berkali-kali dia meminta saya membaca Al-Quraan, akhirnya tiada daya saya menolak permohonan ikhlas beliau.


Ketika ini saya mewakili ITB dalam permainan hoki bersama Zhari Ismail, Jamaluddin Basharuddin, Nasaruddin Zainal Abidin, Jamil Basha Adlan dan lain-lain. Ada sekitar tujuh orang mahasiswa Malaysia yang bermain untuk team ITB. Selaku penyerang tengah saya selalu menjaringkan gol untuk team ITB, dan yang saya masih ingat hingga sekarang ialah ketika pertandingan ITB melawan Universiti Indonesia di Jakarta, saya berjaya menjaringkan gol.

Dua peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ketika berada di rumah kontrakan Jalan Jalak, pertama ketika kaki saya terperosok ke mangkok jamban, mungkin keadaan bilik air licin pada masa itu dan akibatnya urat keting kaki kiri saya luka besar, parutnya masih ada hingga sekarang.

Kedua, ialah ketika saya dimasukkan ke rumah Sakit Borromeus, Bandung yang terletak di Jalan Dago kerana sakit apendik. Sebelum doctor mengesan adanya apendik, saya sering deman dan semboh berulang kali dan juga apabila doctor menekan perut saya di sebelah kiri saya terasa amat sakit. Pembedahan membuang apendik terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan nyawa saya, parutnya juga masih ada hingga sekarang.

Juga ketika ini saya diperkenalkan dengan seorang gadis Sunda oleh Kang Marna bernama Yanti yang cukup cantik. Namun, ketika ditanya apakah beliau sudah berpunya, beliau secara sopan menolak kerana sudah bertunang dengan pemuda pilihan ibunya di kampong. Sempat juga saya belajar beberapa istilah bahasa Sunda dengan Kang Marna dan membeli beberapa buku bahasa Sunda untuk membiasakan dengan bahasa yang lembut itu.

Kemudian, pada tahun 1972, kami mengontrak sebuah rumah di Jalan Bagusrangin, dekat dengan Universitas Panjajaran dan ITB. Pak Koeswara menyewakan kami rumah beliau di Jalan Bagusrangin itu dengan harga yang berpatutan dan kami berenam segera menempati rumah Pak Koeswara iaitu Zakaria Bahari, Ishak Yahya, Azizan Saad, Nordin Garif, Abdullah Mohammad dan saya.

Di rumah yang kami kontrak itu, kami menggaji tiga orang pembantu rumah, seorang cuma dibayar RM10 sahaja wang Malaysia, jadi kami membayar secara berkongsi sebanyak RM30 untuk tiga orang pembantu rumah. Saya sebagai ketua rumah mengatur kerja-kerja pembantu. Seorang memasak, seorang lagi mengemas rumah dan seorang lagi membasuh pakaian. Mereka semua balik hari dan bekerja sampai jam 3.00 petang saja, mereka boleh balik selepas menyiapkan makan malam untuk kami berenam.

Zakaria, Nordin, Azizan dan Ishak mengambil Jurusan Kimia dalam fakulti yang sama dengan saya. Abdullah pula mengambil jurusan Elektro di fakulti yang lain. Saya sendiri saja yang mengambil Matematik dari kumpulan enam orang ini. Jurusan Elektro di tempat lain mungkin disebut sebagai “Department of Electrical Engineering”.

**** bersambung di siri ketiga ****

No comments:

Post a Comment