Thursday 4 August 2011

Bandung dalam lipatan sejarahku – Siri Keenam

Pada pagi Jumaat yang hening tanggal 7 Mac 1975 bertempat di Mesjid Istiqomah, aku dan Umi diijabqabulkan sebagai sepasang suami isteri. Lepas solat Jumaat resepsi perkahwinan diadakan di rumah Mami secara sederhana. Mas kawinnya cukup sederhana berupa sebuah Al-Quraan dan pakaian untuk solat. Ramai teman-teman dari Malaysia yang hadir ke majlis kami yang sederhana itu.

Aku masih ingat yang datang dari Jogjakarta ialah Saudara Mohd Nooh Dalimin dan dari Jakarta Saudara Syed Mohammad Syed Hassan, Saudara Mat Isa Hj Man dan lain-lain. Kawan-kawan dari Bandung yang paling ramai. Semuanya mengucapkan selamat dan memberi tahniah atas perkahwinan kami.

Sebelum berlangsungnya perkahwinan itu, tarikh yang sesuai perlu ditentukan. Kami bertiga iaitu Mami, Umi dan Aku bertolak ke Jawa Tengah untuk bertemu dengan bakal Ibu dan Bapa mertua di sana. Pertemuan dibuat di Boyolali, rumah sepupu Umi yang terletak antara Solo dan Semarang.

Sempat juga aku belajar beberapa patah bahasa Jawa dengan Upik, anak tunggal sepupu Umi, Mbak Padni dan Mas Abidin. Sebelum kedatangan kami, Mami sudah menghubungi Pak Sunoto dan Ibu Sutrimah bakal mertuaku bagi menetapkan tarikh pernikahan. Katanya mereka perlu ke Pak Kiyai untuk merujuk kepada kalendar Jawa terlebih dahulu bagi menetapkan hari dan tarikh yang sesuai.

Dalam perbincangan rancak di rumah sepupu Umi itu bakal Bapak Mertuaku mengeluarkan perkataan “ora iso” (tak boleh) yang agak kuat dan kebetulan pula aku demam hari tersebut sebab perjalanan yang jauh dan memenatkan dari Bandung. Mami sudah keresahan sebab katanya dia membawa seorang warga Malaysia dan dia boleh disalahkan jika apa-apa terjadi padaku.

“Bang Is ni bagaimana? Dengar saja ora iso sudah sakit?”, kata Mami sambil menyindirku. Mereka ketawa ramai-ramai dan suasana menjadi rioh sebentar. Keakraban terasa benar dalam keluarga Jawa di sana sehingga lahir peribahasa, “mangan ora mangan asal ngumpul” yang bermakna makan atau tidak makan yang penting berkumpul. Akrab dan sungguh mesra.

“Tadi Pak Noto mengatakan hari Rabu, dan Khamis tidak bisa, yang bisa cuma hari Jumaat”, terang Mami padaku.

“Ooh begitu”, kataku ringkas. Lega rasanya, ingatkan tidak boleh kawin dengan Umi.
Kembali dari Jawa Tengah pun aku masih dipoyokiin (diperli) oleh keluarga Umi di Bandung, tapi aku tak kisah dan merasa bahagia diterima di keluarga besar mereka.

Aku ingin cepat menikah dengan Umi kerana beberapa sebab. Tentunya sebab pertama ialah rindu berjauhan. Tidak cukup dengan menatap fotonya setiap malam. Rindu begitu mencengkam jiwa ini. Kedua, sebagai pemuda mesjid tidak manis membawa pacar ke sana ke mari nanti dipersoal halal haramnya dan sebagainya. Ketiga, tentunya menutup persaingan dari jejaka lain. Namun, yang terpenting hubungan kami halal dan direstui semua orang, kecuali mungkin beberapa insan yang terkilan tidak memiliki Umi.

Kami tinggal beberapa ketika di rumah Mami di Jalan Aceh No. 100. Tetapi hasrat untuk berdikari terus bermain di jiwa kami. Merdeka sepenuhnya. Berani menghadapi risiko apa pun. Kami berdua mengadap Mami dan menyatakan hasrat kami. Pada mulanya Mami sedikit keberatan. Akhirnya, Mami setuju kami pindah.

Di rumah Jalan Aceh pada waktu itu bersama Mami ada Mak Uu, ibu saudara Umi kami yang sudah berumur yang tidak punya keluarga sesiapa kecuali anak lelakinya yang kami panggil Mas Tejo. Mak Uu membantu Mami memasak dan menyediakan makanan. Kedua, Nciek yang nama sebenarnya Sri Rejeki yang waktu itu masih kecil dan bersekolah dasar di Jalan Sabang. Ayah dan Ibunya tinggal tidak jauh dari situ, nama ayahnya Mas Amir dan Ibunya A-en. Juga, pada waktu itu Mas Bambang dan adiknya Mbak Sinar masih tinggal bersama, mereka masih kuliah.

Kami mengontrak rumah serambi (pavilion) di Jalan Muararajeun, tidak jauh dari rumah Ustaz Bustami Darwis. Pavilion itu cukup untuk kami berdua. Umi setelah lulus dari Sekolah Pendidikan Guru (SPG) dalam Pendidikan Tadika, diterima bekerja di sebuah Tadika dan kemudian pindah ke sekolah Jalan Sabang, dekat dengan Jalan Cihapit. Istilah di Indonesia, Umi menjadi pegawai negeri. Kami ke mana-mana dengan Honda Z70 merah yang ku miliki itu. Rasa sangat bahagia.

Ustaz Bustami ialah guru Kulliyatul Mujahidin, kelas agama mingguan yang mempersiapkan pemuda Islam menjadi pendakwah. Mesranya kami memanggil beliau Pak Bustami Darwis asal Bukit Tinggi, Sumatera. Ramai kenalan kami di Mesjid Istiqomah yang masih aku ingat ialah Pak Manan, Pak Rusli, Pak Baherhamzah, Pak Zainal Abidin, Ibu Nuriah, dan ramai lagi.

Pemudanya pun ketika itu ramai yang berminat dengan agama dan bergabung dalam Ikatan Pemuda Istiqomah. Pemuda-pemuda berkumpul dalam satu mesyuarat (di Indonesia disebut rapat) dan melantik aku menjadi ketua pertama mereka. Kata mereka, aku yang memulakan idea ini dan aku harus menjadi ketua pertama. Aku ikut saja kata ramai kerana yang penting ideaku ialah menyatukan pemuda dan pemudi untuk bergerak menuju kebaikan dengan mengatur ceramah, kuliah, bengkel dan lawatan bagi mempereratkan tali persaudaraan sesama pemuda Islam. Terdapat juga pemuda-pemuda dari Pattani, Selatan Thailand yang ikut kulliyatul Mujahidin dan ramai yang aku kenal. Pak Bustami, Pak Rusyad Nurdin dan lain-lain kami jadikan penasihat Ikatan Pemuda Istiqomah.

***** hingga jumpa di siri ketujuh *****

No comments:

Post a Comment