Wednesday 10 August 2011

Mbak Padni dalam kenangan


Pada 9 Ogos 2011, jam 20.20 Waktu Indonesia Barat (WIB), telah kembali Mbak Padni yang ku sayangi ke Rahmatullah. Sama-sama kita bacakan Al-Fatihah untuk beliau. Semoga rohnya berada di kalangan orang-orang yang bertaqwa, Amin!. Beliau ialah kakak sepupu isteriku Umi. Beliau baru saja kami ziarahi pada 11 Jun 2011 hampir sebulan yang lalu di Boyolali. Sakit osteoporosisnya kian parah ketika itu. Uzur dan terbaring lesu di katilnya. Suaranya sudah hampir tidak kedengaran apabila ngomong. Kami terpaksa mendekatkan telinga ke mulutnya untuk mendengar percakapan perlahannya.

Ketika aku menerima mesej dari Upi Palupi lewat facebook pada pagi 10 Ogos 2011, air mataku tidak terbendung lagi, malah dalam mobil ke kantor juga aku masih tidak dapat menahan kesedihan itu. Secara spontan air mataku mengalir. Upi satu-satu anaknya dengan Mas Abidin. Suaminya, Mas Abidin telah kembali ke rahmatullah lebih awal.

Kenanganku menerawang ke tahun 1974 ketika aku pertama kali akan bertemu Bapak dan Ibu mertuaku. Rumah Mbak Padni menjadi markas pertemuan kami bagi membincangkan pernikahanku dengan Umi. Boyolali berada di pertengahan perjalanan dari Salatiga dan Jogjakarta. Jadi, saudara dari Salatiga, Semarang, Solo, dan Jogjakarta boleh hadir dengan selesa.

Tutur katanya lembut dan diplomatis sekali. Bahasa Jawanya halus dan memukau. Sebagai seorang mantan Kepala Sekolah beliau sering berdepan dengan khalayak dan sudah biasa berpidato di depan umum. Cara beliau mengatur pertemuan dengan Bapak dan Ibu Mertuaku sangat ku kagumi.

Secara sistematik beliau menerangkan tujuan kami datang untuk meminang Umi kepada Bapa Sunoto dan Ibu Sutrimah, bakal mertuaku. Walau pun aku tidak sangat mengerti Bahasa Jawanya yang halus, namun naluriku memahaminya. Ketika ku tanyakan kepada Mami mengenai tutur kata Mbak Pandi, Mami memujinya. Halus dan diplomatis kata Mami. Ibu Saudara Umi yang kami panggil Mami sangat serasi dengan Mbak Padni. Sama-sama tegas dan focus.

Aku sungguh kagum dengan tatakrama masyarakat Jawa. Mereka betul-betul menghormati keluarga. Yang tua dihormati dan yang muda disantuni. Indah dan menarik. Itulah pengalaman pertamaku berhadapan dengan situasi demikian. Mereka sangat akrab bersama keluarga, mungkin kerana itu timbul kata-kata, “mangan ora mangan asal ngumpul”, yang bermakna makan atau tak makan yang penting berkumpul. Mungkin, falsafah ini menyebabkan program transmigrasi masyarakat Jawa ke Sumatera tidak begitu berhasil.

Sekarang, falsafah di atas mungkin sudah berubah kerana kesulitan hidup di Jawa. Ramai yang sudah berhijrah ke Malaysia atau Negara-negera lain baik secara halal atau haram bagi mencari rezeki dan meredakan kesulitan yang dihadapi di Jawa.
Mbak Padni mempunyai seorang adik di Jakarta. Ir Pandam Pandiyono yang kami kenal juga sangat akrab seperti mbaknya. Mereka berdua saja anak Pak Supandi, adik kepada Pak Sunoto, mertuaku. Walau pun sudah pensiun, tetapi masih diperlukan di Perusahaan Bakrie. Pakar dalam “electrical power” yang menjelajah ke seluruh Indonesia dalam rangka tugas beliau dengan Perusahaan Bakrie. Kami sering menginap di rumahnya di Cinere Villa, Jakarta, dan ketika di Bandung kami menginap di rumah beliau di Kawasan Alamanda, Bandung Utara.

Mbak Padni dan Mas Pandam dua saudara yang sungguh akrab dan sering berhubungan dengan kami. Ada ketika kami bertelefon, juga ada waktunya kami berfacebook dan beremail. Keakraban ternyata dengan jelas apabila majlis perkahwinan keluarga kedua-dua Negara sering dihadiri bersama.

Mbak Padni akan kami kenang sampai bila-bila. Kami memanjatkan doa yang tidak terhingga agar rohnya di tempatkan di syurga Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang. Amin!.

Teras Jernang, 10 Ogos 2011.

Friday 5 August 2011

Bandung dalam lipatan sejarahku – Siri Ketujuh dan terakhir

Sejak tinggal di Muararajeun bersama isteri tercinta, semuanya kami urus sendiri. Memasak, mengemas rumah, cari makanan, basuh baju dan lain-lain. Nak belajar berdirikari katakan. Ada ketika, apabila hujan lebat rumah kami bocor, lagi pula sebelah rumah landlord ada sungai kecil, airnya deras ketika hujan. Ada sesekali juga, rumah kami banjir. Apa nak buat, cari rumah yang agak murah dan dekat dengan sungai kecil. Kemungkinan banjir tetap ada.

Oleh kerana aku sudah dapat latihan ketika membantu mak di dapur, jadi tak kekoklah kalau aku bantu isteri membasuh kain dan lepas tu menjemur kain. Nak pula isteri dah berbadan dua, jadi sebahagian besar kerja rumah aku yang buat. Sayangkan baby dalam kandungan isteri.

Sesekali kami ke rumah Mami bagi menghilang kesepian beliau ditinggal Papi. Pagi selepas menghantar isteri bekerja di Sekolah Jalan Sabang, aku terus ke kampus bagi menyiapkan skripsi. Sore kami pulang ke rumah. Biar pun kecil kami cukup bahagia.

Isteri menyiapkan makan malam sambil aku membelek-belek buku rujukan bagi menyiapkan skripsi. Ketika itu tidak ada komputer riba, yang ada hanyalah sebuah mesin taip usang yang ku beli dari tempat barang-barang luakaan (bekas). Lumayan fikirku. Asal boleh nampak tulisannya apabila diketik. Mesin taip itulah yang membantu aku menyiapkan skripsi.

Pada 28 April 1976, baby yang kami tunggu-tunggu pun muncul. Baby girl, cantik macam mak dia juga. Dia dilahirkan di Rumah Sakit Palang Merah, Jalan Aceh, tidak jauh dari rumah Mami. Puas juga kami mencari nama buat dia. Mula-mula kami nak namakan Fatimatul Zuhrah, tapi atas nasihat beberapa teman kami muktamadkan nama baby girl kami sebagai Lathifah Ulfa. Pak Bustami Darwis yang mencadangkan nama itu. Katanya Lathifah Ulfa itu maknanya kelembutan.

Pada bulan Jun 1976, skripsi aku diterima setelah dijalankan viva tiga orang dosen matematik. Selepas membuat sedikit pembetulan, aku serahkan tesis yang telah dijilid kepada penyeliaku Bapa Drs. Kusno Kromodihardjo dalam bidang Aljabar Abstrak. Rezeki anak.

Mami meminta kami bersama anak tinggal di rumah Mami sambil menunggu kepulangan kami ke Malaysia akhir September 1976. Kami setuju saja kerana tinggal berapa bulan saja lagi kami akan kembali ke Malaysia.

Segala urusan paspot isteri dan anak kami siapkan segera selepas lulus viva skripsi dan laporan ke Kedutaan sudah dibuat dan penempahan tiket MAS pun diatur.

Akhirnya aku pulang ke Malaysia bukan saja dengan Ijazah Sarjana Matematik, tapi ijabsah (Ijazah atau Sijil Kawin) pun dibawa sekali. Juga, dapat seorang anak perempuan yang comel kelahiran Bandung.

Kami bertiga sangat bahagia meninggalkan Bandung ke Jakarta dan terus ke Kuala Lumpur. Terbayang wajah-wajah ibu dan keluarga yang sedang menunggu. Ayah sudah tiada ketika aku masih di Bandung, aku pulang sebentar menjengok ayahku ketika dia sakit.

Itulah kisah aku di Bandung, kemudian aku akan sambung pula dengan cerita di Malaysia selepas pulang dari Indonesia.

***** tamat episode Bandung *****

Thursday 4 August 2011

Bandung dalam lipatan sejarahku – Siri Keenam

Pada pagi Jumaat yang hening tanggal 7 Mac 1975 bertempat di Mesjid Istiqomah, aku dan Umi diijabqabulkan sebagai sepasang suami isteri. Lepas solat Jumaat resepsi perkahwinan diadakan di rumah Mami secara sederhana. Mas kawinnya cukup sederhana berupa sebuah Al-Quraan dan pakaian untuk solat. Ramai teman-teman dari Malaysia yang hadir ke majlis kami yang sederhana itu.

Aku masih ingat yang datang dari Jogjakarta ialah Saudara Mohd Nooh Dalimin dan dari Jakarta Saudara Syed Mohammad Syed Hassan, Saudara Mat Isa Hj Man dan lain-lain. Kawan-kawan dari Bandung yang paling ramai. Semuanya mengucapkan selamat dan memberi tahniah atas perkahwinan kami.

Sebelum berlangsungnya perkahwinan itu, tarikh yang sesuai perlu ditentukan. Kami bertiga iaitu Mami, Umi dan Aku bertolak ke Jawa Tengah untuk bertemu dengan bakal Ibu dan Bapa mertua di sana. Pertemuan dibuat di Boyolali, rumah sepupu Umi yang terletak antara Solo dan Semarang.

Sempat juga aku belajar beberapa patah bahasa Jawa dengan Upik, anak tunggal sepupu Umi, Mbak Padni dan Mas Abidin. Sebelum kedatangan kami, Mami sudah menghubungi Pak Sunoto dan Ibu Sutrimah bakal mertuaku bagi menetapkan tarikh pernikahan. Katanya mereka perlu ke Pak Kiyai untuk merujuk kepada kalendar Jawa terlebih dahulu bagi menetapkan hari dan tarikh yang sesuai.

Dalam perbincangan rancak di rumah sepupu Umi itu bakal Bapak Mertuaku mengeluarkan perkataan “ora iso” (tak boleh) yang agak kuat dan kebetulan pula aku demam hari tersebut sebab perjalanan yang jauh dan memenatkan dari Bandung. Mami sudah keresahan sebab katanya dia membawa seorang warga Malaysia dan dia boleh disalahkan jika apa-apa terjadi padaku.

“Bang Is ni bagaimana? Dengar saja ora iso sudah sakit?”, kata Mami sambil menyindirku. Mereka ketawa ramai-ramai dan suasana menjadi rioh sebentar. Keakraban terasa benar dalam keluarga Jawa di sana sehingga lahir peribahasa, “mangan ora mangan asal ngumpul” yang bermakna makan atau tidak makan yang penting berkumpul. Akrab dan sungguh mesra.

“Tadi Pak Noto mengatakan hari Rabu, dan Khamis tidak bisa, yang bisa cuma hari Jumaat”, terang Mami padaku.

“Ooh begitu”, kataku ringkas. Lega rasanya, ingatkan tidak boleh kawin dengan Umi.
Kembali dari Jawa Tengah pun aku masih dipoyokiin (diperli) oleh keluarga Umi di Bandung, tapi aku tak kisah dan merasa bahagia diterima di keluarga besar mereka.

Aku ingin cepat menikah dengan Umi kerana beberapa sebab. Tentunya sebab pertama ialah rindu berjauhan. Tidak cukup dengan menatap fotonya setiap malam. Rindu begitu mencengkam jiwa ini. Kedua, sebagai pemuda mesjid tidak manis membawa pacar ke sana ke mari nanti dipersoal halal haramnya dan sebagainya. Ketiga, tentunya menutup persaingan dari jejaka lain. Namun, yang terpenting hubungan kami halal dan direstui semua orang, kecuali mungkin beberapa insan yang terkilan tidak memiliki Umi.

Kami tinggal beberapa ketika di rumah Mami di Jalan Aceh No. 100. Tetapi hasrat untuk berdikari terus bermain di jiwa kami. Merdeka sepenuhnya. Berani menghadapi risiko apa pun. Kami berdua mengadap Mami dan menyatakan hasrat kami. Pada mulanya Mami sedikit keberatan. Akhirnya, Mami setuju kami pindah.

Di rumah Jalan Aceh pada waktu itu bersama Mami ada Mak Uu, ibu saudara Umi kami yang sudah berumur yang tidak punya keluarga sesiapa kecuali anak lelakinya yang kami panggil Mas Tejo. Mak Uu membantu Mami memasak dan menyediakan makanan. Kedua, Nciek yang nama sebenarnya Sri Rejeki yang waktu itu masih kecil dan bersekolah dasar di Jalan Sabang. Ayah dan Ibunya tinggal tidak jauh dari situ, nama ayahnya Mas Amir dan Ibunya A-en. Juga, pada waktu itu Mas Bambang dan adiknya Mbak Sinar masih tinggal bersama, mereka masih kuliah.

Kami mengontrak rumah serambi (pavilion) di Jalan Muararajeun, tidak jauh dari rumah Ustaz Bustami Darwis. Pavilion itu cukup untuk kami berdua. Umi setelah lulus dari Sekolah Pendidikan Guru (SPG) dalam Pendidikan Tadika, diterima bekerja di sebuah Tadika dan kemudian pindah ke sekolah Jalan Sabang, dekat dengan Jalan Cihapit. Istilah di Indonesia, Umi menjadi pegawai negeri. Kami ke mana-mana dengan Honda Z70 merah yang ku miliki itu. Rasa sangat bahagia.

Ustaz Bustami ialah guru Kulliyatul Mujahidin, kelas agama mingguan yang mempersiapkan pemuda Islam menjadi pendakwah. Mesranya kami memanggil beliau Pak Bustami Darwis asal Bukit Tinggi, Sumatera. Ramai kenalan kami di Mesjid Istiqomah yang masih aku ingat ialah Pak Manan, Pak Rusli, Pak Baherhamzah, Pak Zainal Abidin, Ibu Nuriah, dan ramai lagi.

Pemudanya pun ketika itu ramai yang berminat dengan agama dan bergabung dalam Ikatan Pemuda Istiqomah. Pemuda-pemuda berkumpul dalam satu mesyuarat (di Indonesia disebut rapat) dan melantik aku menjadi ketua pertama mereka. Kata mereka, aku yang memulakan idea ini dan aku harus menjadi ketua pertama. Aku ikut saja kata ramai kerana yang penting ideaku ialah menyatukan pemuda dan pemudi untuk bergerak menuju kebaikan dengan mengatur ceramah, kuliah, bengkel dan lawatan bagi mempereratkan tali persaudaraan sesama pemuda Islam. Terdapat juga pemuda-pemuda dari Pattani, Selatan Thailand yang ikut kulliyatul Mujahidin dan ramai yang aku kenal. Pak Bustami, Pak Rusyad Nurdin dan lain-lain kami jadikan penasihat Ikatan Pemuda Istiqomah.

***** hingga jumpa di siri ketujuh *****

Wednesday 3 August 2011

Bandung dalam lipatan sejarahku – Siri Kelima

Umi berada di Bandung setahun sebelum dia menjelma dalam hidupku. Pamannya Pak Sunarman ialah kenalan awalku di Bandung, dan sama-sama solat berjamaah subuh di Mesjid Istiqomah Cihapit.

Umi dibawa ke Bandung dari Semarang bagi menemani pamannya yang baru kehilangan anaknya, Indra pada pertengahan tahun 1971. Indra meninggal akibat penyakit leukemia. Aku dan Ishak ke Rumah Sakit Tentera di Cimahi bagi menderma darah untuk Indra, tetapi Allah lebih sayangkan dia. Dia pergi dengan redha keluarga.

Tidak lama selepas itu, Pak Sunarman menyusul. Pak Narman meninggal kerana sakit kanser. Beliau menjelang akhir hayatnya masih bertanyakan anak-anaknya apakah mereka sudah solat atau belum, akan merasa tenteram hatinya bila anak-anak sudah solat.

Sebelum meninggal, beliau sendiri dalam keadaan yang sangat uzur meminta untuk diwudhukan dan kemudian beliau solat melalui kerdipan matanya yang semakin lemah. Lepas solat asar beliau dijemput Allah dengan lelehan air mata keluarga yang tidak terbendung lagi.

Pamannya seorang tentara berpangkat Leftenan Kolonel, keras didikan agamanya
terhadap keluarga. Sangat berdisiplin. Serius dan fokus kepada dakwah Islam. Keluarganya mendapat didikan agama yang sempurna. Tiap kali pulang kuliah agama di mesjid, semua famili akan ditanya mengenai bahan ceramah dan sebagainya. Masing-masing akan membawa buku nota bagi mencatit bahan kuliah agama yang disampaikan penceramah di mesjid. Kalau tidak, malu nanti apabila ditanya paman kalau tidak boleh menjawab.

Pak Sunarman ialah adik kandung ayah Umi yang bongsu, yang sulong ialah Ibu Aisyah, kedua Bapak Sunoto ayah Umi, ketiga Pak Sudarno, dan keempat Pak Supandi. Kampong asal mereka ialah Tingkir, Salatiga, Jawa Tengah. Berat juga Ibu Sutrimah iaitu ibu kepada Umi mengizinkannya bersama pamannya, namun seperti sudah ditakdirkan akhirnya mereka bersetuju membenarkan Umi tinggal di Bandung.

Semuanya sudah diatur oleh Allah yang Maha kuasa, yang kita namakan takdir. Umi berada di Bandung selepas pemergian Indra, bagi menemani keluarga pamannya. Aku seorang mahasiswa Malaysia yang terdampar di Bandung dan kemudian jatuh cinta kepada Umi seorang gadis Jawa Tengah. Laksana asam di gunung, garam di laut bertemu mereka di kuali.

Sejak berkenalan lebih dekat dengan Umi hatiku terasa amat tenteram. Tidak mungkin gadis secantik Umi tidak ada yang mengejar. Namun, aku tetap yakin dengan kesetiaan Umi yang jarang-jarang dapat keluar seperti gadis lain akibat dari disiplin keluarga yang ketat.

Ketika Pak Narman masih hidup tidak ada jejaka yang berani mendekati anak-anak perempuan beliau. Mereka semua seperti sudah mengerti tahap disiplin Pak Narman. Nasib menyebelahiku apabila aku dipertemukan Allah dengan Umi selepas pemergian beliau. Kalau tidak terpaksalah aku memerah otak mencari kreativiti baru menanggani isu ini.

Malah aku sendiri pun tidak tahu yang Umi ialah anak saudara Pak Narman kerana kami belum pernah bertemu. Di mesjid pada waktu zuhur yang bertuah itulah pertama kali aku melihat Umi dan terus terkulai. Maha Besar Allah yang Maha berkuasa.

Setelah lama berutus surat melalui buku sebagai media, dan sesekali kami bersama tapi duduk berjauhan ketika ceramah atau kuliah Dhuha di Mesjid Istiqomah aku nekad untuk berjumpa Ibu saudara Umi dan menyatakan bahwa aku ingin menyunting Umi sebagai isteri.

Istilah wakuncar hanya tinggal istilah saja bagi kami kerana Mami, Ibu Saudara Umi, isteri Almarhum Pak Narman tidak membenarkan aku membawa Umi keluar seperti lazim pasangan lain di Bandung ketika itu. Wakuncar ialah istilah ringkas bagi wajib kunjung pacar, yang dipakai di Indonesia.

Setiap Sabtu malam minggu menjadi satu kelaziman pasangan kekasih di Bandung atau di Indonesia untuk berkunjung ke rumah pacarnya dan kalau diizinkan boleh bawa keluar pacarnya bersiar-siar ke mana saja yang disukai pasangan itu. Bagiku pilihan untuk mendapat izin keluar hampir mustahil kerana disiplin keluarga Umi. Apa yang dapat aku buat ialah tiap malam minggu datang ke rumah Umi dan makan bersama keluarga dan habis makan pamit.

Waktu aku bicara terus terang kepada Mami yang aku berhasrat untuk mengambil Umi menjadi pasangan hidup, Mami dengan lembut menyarankan agar aku menghantar seorang wakil untuk bertemu Mami membicarakan perkara ini. Almarhumah Ibu Noriah membantuku dalam hal ini. Beliau dengan senang hati bertemu empat mata dengan Mami dan membicarakan hal kami berdua dan syukur diterima dengan baik oleh Mami. Sejak itu hatiku bagitu tenteram sekali.

Ketika ku ceritakan kepada teman-teman serumahku mengenai episode aku bertemu Ibu Saudara Umi bagi menjelaskan hubungan kami, kawan-kawan menggeleng-geleng kepala.

“Berani kau Mail”, getus mereka.

“Apa nak ditakutkan. Umi dah backing”, jelas ku dengan yakin.

Beberapa hari kemudian aku mendengar dari teman-teman mesjidku yang beberapa jejaka juga berminat dengan Umi tapi tak berani berjumpa Mami. Mereka masih ragu-ragu. Malah, beberapa orang teman rapatku di mesjid turut berminat, namun mereka sporting dan memberi tahniah pula kepadaku sebaik saja berita kami tersebar di mesjid.

***** bersambung ke siri keenam ******

Bandung dalam lipatan sejarahku – Siri Keempat

Ringkasan Siri Ketiga: Pelajar wanita Indonesia lebih agresif, pelajar lelaki yang pemalu seperti saya ini yang selalu mengalah. Tetapi suatu hal yang patut dipuji ialah mereka mengambil berat tentang kecantikan. Rata-rata pelajarnya cantik dan menarik. Kena kuatkan iman bila berada di kalangan mereka. Mereka lebih terbuka dalam perbincangan mengenai kuliah dan lebih suka bertanya dalam kelas.

Siri Keempat
Aku mula tertarik dengan Umi ketika melihat wajahnya buat pertama kali. Aku juga keliru, apakah itu cinta pandang pertama? Wajahnya yang tiada satu pun titik hitam, puteh bersih dan tiada makeup kerana baru lepas berwudhu dan akan solat Zuhor ketika itu.

Teringat seketika aku pada sebuah hadith Rasulullah s.a.w., “Nikahilah wanita karena empat alasan. Pertama karena hartanya, kedua karena kecantikannya, ketiga karena keturunannya dan keempat karena agamanya. Maka pilihlah wanita karena agamanya (yang baik).”

Ketika di kampong aku pernah bertanya kepada emak, “macam mana nanti kalau Mail dapat jodoh di Bandung?”, aku bertanya ringkas setelah melihat emak berehat sejenak ketika mengetam padi. Kami berdua memang selalu bersama kalau aku cuti penggal persekolahan dan bercuti ke kampong. Ada ketika aku membantu emak membasuh pinggan di dapur.

“Toksah.” Jawab dia bingkas. Aku degil dan terus juga bertanya berkali-kali, emak cuma diam. Aku memeluk emak, tanda berterima kasih. Emak, kalau diam maknanya dia bersetuju. Dia sebenarnya takut kehilangan anak yang dia sayangi. Aku tetap menyatakan, walau pun berkahwin dengan gadis Indonesia, aku akan tetap pulang dan berada di samping emak yang disayangi.

Usai solat aku berjumpa Umi sebentar di tempat letak sepatu di sebelah kanan mesjid Istiqomah dari arah depan. Kami berbalas senyuman dan berlalu mengikut haluan masing-masing. Dia pulang ke SPG dan aku terus ke rumah kontrakan. Hatiku berbunga.

Malam itu hatiku resah. Apakah dia juga tertarik padaku? Persoalan yang memerlukan jawapan. Ketika itu umurku 24 tahun, muda remaja dan mungkin aku tengah dilamun cinta. Aku mengambil kertas kosong dan mula mencoret isi hatiku, dengan susunan ayat yang seindah mungkin aku menyisipkan surat tersebut dalam sebuah buku yang ku pilih khas buatnya. Esok aku bertekad untuk menemuinya sekali lagi.

Waktu Zuhor segera mendekat, aku mengenderai motorsikalku ke Mesjid Istiqomah untuk solat. Seusai solat aku ke tempat sepatu yang biasa kami titipkan kepada Mualim, pekerja yang menjaga sepatu, kebetulan Umi sudah berada di situ. Dengan senyum yang seindah mungkin aku menyampaikan sebuah buku padanya, dengan sepucuk surat harapan.

Esoknya pada waktu yang hampir sama aku mendapat kembali buku yang ku titipkan kepadanya dengan sebuah balasan yang ku harapkan. Rupanya aku tidak bertepuk sebelah tangan. Dari situlah berputiknya cinta kami.

***** bersambung siri kelima *****

Bandung dalam lipatan sejarahku – Siri Ketiga

Ringkasan Siri Kedua: Berpindah rumah dari Jalan Flores 4 ke Jalan Jalak, kemudian ke Jalan Bagusrangin mengontrak rumah Pak Koeswara. Mewakili ITB dalam permainan hoki. Mendapat rawatan di Rumah Sakit Borrowmeus, Jalan Dago. Mempunyai tiga pembantu rumah dengan bayaran RM10 seorang.

Siri Ketiga
Pada peringkat awal, setiap kali saya melintasi asrama pelajar wanita dekat dengan Mesjid Salman akan terdengar jeritan mereka, “Hei, pelajar Malaysie! Jalan sorang?” dan usikan-usikan yang lain. Saya buat tidak dengar saja dan terus berlalu.

Kadang-kadang bila bertemu di kampus mereka sering bertanya,

“Hei, di Malaysia ada rumah sakit korban lelaki ya?”.

Saya hairan dari mana mereka mendapat ayat-ayat demikian, saya selalu menjawab,

“Yang ada ialah Hospital Bersalin”. Mereka mengangguk-angguk kepala tanda seperti bersetuju.

Kemudian mereka bertanya lagi,

“Di Malaysia, ada askar bergayut ya?”.

“Mana ada. Yang ada ialah Tentera Payung Terjun”, jawabku segera. Lagi sekali mereka mengangguk-angguk kepala.

Mungkin tujuan mereka hanya untuk bergurau saja. Terfikir saya, ini mungkin akibat kempen ganyang Malaysia yang dibuat oleh Bung Karno pada tahun-tahun 1963 hingga 1965 sebelum Pak Suharto mengambilalih kuasa pemerintahan.

Pelajar-pelajar wanita Indonesia agak agresif sikit berbanding dengan pelajar-pelajar lelaki Malaysia yang agak pemalu macam saya. Maklumlah budak kampong yang baru dapat kesempatan belajar di luar Negara, di seberang laut. Rasa malu itu masih ada dan tidak biasa dengan pergaulan agak terbuka dengan pelajar-pelajar wanita Indonesia. Mereka ramah dan bersahabat.

Kami akui, pelajar-pelajar wanita mereka rata-rata cantik. Pandai makeup dan bergaya, tidak kekok bergaul. Dalam hati masih selalu teringat tujuan asal datang ke Bandung ialah untuk belajar dan kembali berkhidmat kepada bangsa dan Negara. Selalu juga ingat kata-kata hikmat, “ikut hati mati, ikut rasa binasa”. Berkecamuk dalam fikiran dan bertarung kuat antara mengikut kata hati yang murni atau kata syeitan yang menjanjikan kelazatan sementara.

Ada juga kawan-kawan yang hanyut dalam pergaulan, tetapi tidak ramai. Mereka mungkin hilang pedoman sebentar. Lagi pula saya lebih terdorong kepada agama, suka bergiat di mesjid. Saya mengikuti kuliyatul Mujahidin, mengikuti kelas pada hujung minggu yang dianjurkan oleh Mesjid Istiqomah, Taman Citarum. Kami dilatih untuk berkutbah, dan berceramah agama. Saya tertarik untuk membaca buku-buku agama yang diterbitkan di Bandung. Buku-buku yang banyak memberi makna kepada kehidupan saya sebagai seorang Muslim dan kefahaman agama yang betul.

Saya sendiri berpeluang menyampaikan kutbah di Mesjid Istiqomah dan beberapa mesjid lain di Bandung. Pada hari minggu saya pernah mengisi kuliah dhuha di beberapa mesjid sekitar Bandung. Juga berpeluang menjadi imam solat tarawikh untuk beberapa tahun berpuasa di Bandung. Juga, saya pernah menyampaikan kuliah subuh berkala di sebuah mesjid berhampiran tempat saya tinggal mengupas mengenai astronomi dengan mengaitkan sumber dari Al-Quraan dan penemuan-penemuan sains semasa mengenai cakrawala.

Di Mesjid Salman, saya bersama Zhari Ismail, Ishak Yahya dan Zulkifli Mahmood pernah mengikuti Kursus Kaderisasi di bawah bimbingan Allahyarham Dr Ir Imanuddin Abdul Rahman, Dosen Elektro ITB. Mesjid Salman menjadi pusat kaderisasi dakwah mahasiswa yang sangat aktif. Allahyarham Bang Imad, panggilan dekat saya kepada beliau selalu menyatakan dengan tegas mengenai proses kaderisasi yang sangat diperlukan dalam perkembangan Islam.

Oleh kerana kritik beliau yang keras terhadap pemerintah Malaysia, Bang Imad yang ketika itu bertugas sebagai dosen di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur diarah pulang sertamerta ke Indonesia oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Namun kesempatan itu digunakan oleh Bang Imad untuk melanjutkan pelajarannya ke Amerika sehingga mendapat PhD.

Institut Teknologi Bandung (ITB) adalah almamaternya Bapak Ir Sukarno, Presiden Pertama Republik Indonesia dan ITB ialah sebuah universiti yang mendapat ranking 93 di dunia dalam bidang kejuruteraan.

Ketika saya melawat ITB pada Jun 2011 yang lalu, saya dapati sudah tiada lagi padang bola berdekatan dengan MIPA, seluruh lapangan bola itu telah berdiri megah bangunan-bangunan baru. Banyak fakulti-fakulti baru diwujudkan dan ramai pelajar-pelajar dari luar yang sangat berminat belajar di ITB. Informasi lengkap boleh dilihat dalam website ITB, www.itb.ac.id.

Sejak mempunyai motorsikal, saya sering solat zuhor di Mesjid Istiqomah, walau pun jarak Mesjid Istiqomah dari rumah kontrakan kami separuh dari jarak ke ITB dan mula tertarik dengan gadis manis bernama Umi yang bersekolah di sebelah Mesjid istiqomah, Sekolah Pendidikan Guru (SPG). Tiap zuhur dia pun solat di Mesjid Istiqomah bersama kawan-kawannya.

Perasaan malu mencengkam jiwa antara ingin terus berkenalan atau hanya berhenti sekadar kenal saja. Hati meronta-ronta untuk kenal lebih jauh. Fikiran terus berputar, berfikir antara studi dan perasaan yang baru muncul dalam jiwa ini. Semangat tetap kuat untuk berjaya dan juga akan menerima cabaran baru dalam mengenali lebih dekat seorang wanita yang menarik hati.

**** bersambung di siri keempat ****

Tuesday 2 August 2011

Bandung dalam lipatan sejarahku – Siri Kedua

Ringkasan Siri Pertama: kami ditempatkan di Hostel Rawamangun, Jakarta selepas tiba dari Malaysia pada tahun 1970. Kemudian baru dipindahkan ke Bandung, saya mendapat biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk pengajian selama lima (5) tahun. Indekos di rumah Dr Hasnil Basri dan Ibu di Jalan Flores No. 4, Bandung dan berkuliah di Jurusan Matematika, Fakulti Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (MIPA). Bergiat bersama jamaah Mesjid Istiqomah sejak sampai di Bandung.

Siri Kedua
Setelah tinggal selama lebih kurang setahun di rumah Pak Hasnil, tepatnya pada bulan Jun 1971, kami berpakat untuk menyewa rumah di Jalan Jalak, di sebelah utara sedikit dari Gedung Sate. Tinggal bersama saya pada ketika itu ialah Ismail Mohd, Abdul Manan Jais, dan Mohd Nordin Garif

Kami ingin hidup berdikari, itu motif utama kami mengambil keputusan untuk menyewa rumah dan tidak lagi tinggal bersama keluarga angkat. Di sini disebut “kontrakan” sebagai istilah kita menyewa rumah untuk tinggal. Sewa kena bayar diawal tahun bagi kontrakan setahun. Jadi tiap bulan kami wajib buat simpanan untuk membayar sewa tahun berikutnya.

Ketika itu tukaran satu ringgit Malaysia (RM) ialah 125 rupiah wang Indonesia. Sebulan biasiswa dua ratus tiga puluh ringgit Malaysia (RM230) akan menjadi dua puluh lapan ribu tujuh ratus lima puluh rupiah (RP28,750.00). Lumayan untuk hidup satu bulan di Bandung. Pada mulanya, kami sering pergi ke alun-alun di tengah Kota Bandung untuk makan nasi padang yang sesuai dengan lidah Melayu, namun lama kelamaan terasa mahal pula. Kami mula bertukar makan makanan Sunda yang banyak sayur-sayuran, saya sangat suka tahu dan tempe yang banyak gizinya.


Kenderaan utama untuk ke mana-mana di Bandung ketika ini ialah beca dan angkot, singkatan untuk angkutan kota. Kalau ingin ke destinasi yang agak jauh kami terpaksa mengambil beberapa angkot bergantian. Kalau dekat, cukup dengan menggunakan beca saja. Mudah sangat mendapatkan beca atau angkot, sebab di mana-mana simpang jalan pun ada abang atau mang beca menunggu.

Solat suboh berjamaah selalu saya lakukan di Mesjid Titiran, sebuah mesjid yang berada di hujung Jalan Jalak. Biasanya solat Zuhor dan Asar, kami lakukan di Mesjid Salman, ITB. Di Mesjid Titiran saya bertemu dengan Kang Soemarna, istilah Kang ialah abang dalam bahasa Sunda, iaitu bahasa utama propinsi Jawa Barat. Saya bersahabat baik dengan beliau, mungkin kami serasi. Pernah sekali Kang Marna membawa saya pulang ke kampongnya di Tasik Malaya dan meminta saya memperdengarkan bacaan Al-Quraan di khalayak ramai. Mungkin dia pernah mendengar saya membaca Al-Quraan di Mesjid Istiqomah dalam acara kuliah subuh hari minggu atau dalam acara-acara lain di Mesjid Istiqomah. Gementar juga saya seketika, namun berkali-kali dia meminta saya membaca Al-Quraan, akhirnya tiada daya saya menolak permohonan ikhlas beliau.


Ketika ini saya mewakili ITB dalam permainan hoki bersama Zhari Ismail, Jamaluddin Basharuddin, Nasaruddin Zainal Abidin, Jamil Basha Adlan dan lain-lain. Ada sekitar tujuh orang mahasiswa Malaysia yang bermain untuk team ITB. Selaku penyerang tengah saya selalu menjaringkan gol untuk team ITB, dan yang saya masih ingat hingga sekarang ialah ketika pertandingan ITB melawan Universiti Indonesia di Jakarta, saya berjaya menjaringkan gol.

Dua peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ketika berada di rumah kontrakan Jalan Jalak, pertama ketika kaki saya terperosok ke mangkok jamban, mungkin keadaan bilik air licin pada masa itu dan akibatnya urat keting kaki kiri saya luka besar, parutnya masih ada hingga sekarang.

Kedua, ialah ketika saya dimasukkan ke rumah Sakit Borromeus, Bandung yang terletak di Jalan Dago kerana sakit apendik. Sebelum doctor mengesan adanya apendik, saya sering deman dan semboh berulang kali dan juga apabila doctor menekan perut saya di sebelah kiri saya terasa amat sakit. Pembedahan membuang apendik terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan nyawa saya, parutnya juga masih ada hingga sekarang.

Juga ketika ini saya diperkenalkan dengan seorang gadis Sunda oleh Kang Marna bernama Yanti yang cukup cantik. Namun, ketika ditanya apakah beliau sudah berpunya, beliau secara sopan menolak kerana sudah bertunang dengan pemuda pilihan ibunya di kampong. Sempat juga saya belajar beberapa istilah bahasa Sunda dengan Kang Marna dan membeli beberapa buku bahasa Sunda untuk membiasakan dengan bahasa yang lembut itu.

Kemudian, pada tahun 1972, kami mengontrak sebuah rumah di Jalan Bagusrangin, dekat dengan Universitas Panjajaran dan ITB. Pak Koeswara menyewakan kami rumah beliau di Jalan Bagusrangin itu dengan harga yang berpatutan dan kami berenam segera menempati rumah Pak Koeswara iaitu Zakaria Bahari, Ishak Yahya, Azizan Saad, Nordin Garif, Abdullah Mohammad dan saya.

Di rumah yang kami kontrak itu, kami menggaji tiga orang pembantu rumah, seorang cuma dibayar RM10 sahaja wang Malaysia, jadi kami membayar secara berkongsi sebanyak RM30 untuk tiga orang pembantu rumah. Saya sebagai ketua rumah mengatur kerja-kerja pembantu. Seorang memasak, seorang lagi mengemas rumah dan seorang lagi membasuh pakaian. Mereka semua balik hari dan bekerja sampai jam 3.00 petang saja, mereka boleh balik selepas menyiapkan makan malam untuk kami berenam.

Zakaria, Nordin, Azizan dan Ishak mengambil Jurusan Kimia dalam fakulti yang sama dengan saya. Abdullah pula mengambil jurusan Elektro di fakulti yang lain. Saya sendiri saja yang mengambil Matematik dari kumpulan enam orang ini. Jurusan Elektro di tempat lain mungkin disebut sebagai “Department of Electrical Engineering”.

**** bersambung di siri ketiga ****

Monday 1 August 2011

Bandung dalam lipatan sejarahku – Siri Pertama

Setelah tinggal beberapa hari di sebuah asrama di Rawamangun, Jakarta pada tahun 1970, kami menaiki bas untuk ke Bandung. Di Kota Kembang, Bandung ini saya mendapat keluarga angkat, Dr Hasnil Basri dan ibu yang tinggal di Jalan Flores No. 4, jalan utama di sekitar itu ialah Jalan Aceh. Anak Bongsu Pak Hasnil bernama Ayi yang selalu kami usik dengan bertanya macam-macam perkara.

Ahmad Sobri Hashim, Jamil Basha Adlan dan saya ditempatkan dalam sebuah bilik di rumah Dr Hasnil Basri dan kami berulang alik ke Institut Teknologi Bandung (ITB) menghadiri kuliah dan kegiatan di sana yang jaraknya sekitar 5 kilometer (KM).

Pada peringkat awal, saya berjalan kaki ke ITB tetapi kemudian, pada tahun 1971 dengan duit biasiswa yang ditabung, saya berhasil membeli sebuah motorsikal Honda Z70 berwarna merah. Nampaknya motorsikal Honda Z70 sudah tidak dikeluarkan lagi, tangki motorsikal itu berada di hadapan pemandu. Pada masa itu harga motorsikal berwarna merah lebih mahal daripada motorsikal berwarna biru atau lain-lain warna. Perbezaan harga berdasarkan permintaan pengguna.

Sejak mendapat motorsikal, kaki kami mulai panjang sikit. Maknanya kami boleh pergi ke mana-mana sekitar Bandung dengan cepat dan perjalanannya boleh pergi jauh. Ada ketika, biasanya hari minggu kami ke Maribaya, sebuah tempat peranginan sejuk di Bandung. Waktu malam ada yang ke “Bandung Tea House”, sebuah tempat yang agak tinggi di utara Kota Bandung yang membolehkan kita melihat Kota Bandung pada waktu malam dengan kegemerlapan cahaya lampu yang indah.

Ada juga teman-teman yang sudah mula dapat “cewek” (girl friend) orang Bandung yang rata-rata cantik. Ada juga yang jatuh cinta dengan anak tuan rumah indekos. Istilah indekos digunakan bagi menyatakan seseorang menyewa bilik di sebuah rumah kepunyaan seseorang yang disebut sebagai tuan rumah (landlord). Kadang-kadang diringkas menjadi kos saja dalam percakapan harian.

Saya mengambil jurusan Matematik yang berada di bawah Fakulti Matematik dan Pengetahuan Alam (MIPA), ITB. Kami dikirim belajar ke Indonesia di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi menambah guru-guru dalam Bahasa Melayu untuk mengajar di sekolah-sekolah di Malaysia dalam bidang sains dan teknologi. Kemudian, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Petronas dan lain-lain juga menghantar pelajar-pelajar mereka ke Indonesia.

Bandung ketika tahun 70an sangat sejuk. Kalau kita bermotorsikal pada malam hari, dada kita kena lapiskan dengan surat khabar atau kertas tebal untuk menghindari udara malam yang dingin. Jaket sudah menjadi satu kemestian bila keluar malam dengan motorsikal. Kalau tidak lama kelamaan, kita akan mendapat penyakit paru-paru basah, istilah paru-paru berair bagi orang Bandung.

Saya sendiri jarang-jarang keluar malam. Saya sering diajak Pak Hasnil ke Mesjid Istiqomah Cihapit untuk solat Suboh kerana dekat dengan Jalan Flores. Ketika itu Mesjid Istiqomah Cihapit sangat dhoif dan Dewan Kesejahteraan Mesjid (DKM), sebuah jawatankuasa bagi mengendalikan mesjid, selalu berbincang macam mana mencari sebuah tempat lain yang lebih selesa untuk jamaah beribadah. Akhirnya Mesjid Istiqomah Cihapit berpindah ke Taman Citarum dan tetap dinamakan Mesjid Istiqomah tetapi lokasinya di Taman Citarum berdekatan dengan Gedung Sate, kantor Gubenor Jawa Barat. Ketika itu saya bertemu dengan Ir Bambang Pranggono dan ayahnda beliau Pak Sunarman aktivis mesjid Istiqomah. Pada tahun 1975, setelah Pak Sunarman kembali ke rahmatullah saya bertemu jodoh dengan anak saudara beliau bernama Umi Purwati Sunoto yang hidup dan mewarisi persekitaran agama Islam yang kuat.

Ir Bambang Pranggono terlibat langsung sebagai arsitek dalam membangun Mesjid Istiqomah Taman Citarum dari sebuah bulatan besar yang kosong, dipenuhi dengan lalang dan pokok-pokok kecil sehingga menjadi sebuah mesjid yang terkenal di seluruh Indonesia. Beliau, ketika tahun 1970an ialah mahasiswa ITB dalam bidang Arsitektur dan Senibina. Sangat gigih dalam berdakwah dan berbakat besar dalam pidato keagamaan. Sekarang, beliau ialah dosen (pensyarah) di Fakulti Teknik, Universiti Islam Bandung (UNISBA).

Sejak bersekolah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh saya suka bergiat dalam persatuan sehingga ketika di STAR saya terlibat dalam 23 aktiviti persatuan, ko-kurikulum, sukan dan sebagainya. Ketika di Bandung, saya tidak boleh lari dari minat ini sehingga dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) pada awal penglibatan sehinggalah menjadi Yang Dipertua (YDP), PKPMI Pusat pada tahun-tahun kemudiannya.

Kami pernah mengadakan lawatan ke Jogjakarta pada tahun 1973 dan ke Medan pada tahun 1974, dengan mengadakan pertandingan persahabatan dalam bermacam-macam jenis sukan dengan PKPMI Cabang Jogjakarta dan Medan pada tahun-tahun berkenaan.

Perjalanan ke Medan kami tempoh dengan menaiki feri Tampomas yang mengambil masa selama 3 hari 2 malam berlepas dari Tanjung Periok hingga ke Medan dengan berhenti di Pulau Bangka dan lain-lain sebelum sampai ke Medan. Pulangnya kami mengambil kapal terbang dari Medan ke Jakarta dan menaiki “travel” dari Jakarta ke Bandung. Ini dilakukan kerana tidak tahan dengan lamanya masa perjalanan laut dari Tanjung Periok ke Medan. Mengikut yang empunya cerita, Feri Tamposmas sudah dipencenkan beberapa tahun selepas itu.

Saya masih teringat hingga kini kerana bercampur risau ketika Prof Zhari Ismail (USM) dan saya membawa wang rupiah dalam jumlah berjuta-juta dalam beg menggunakan kereta api dari Jakarta ke Bandung. Pada masa itu biasiswa lambat dan pelajar-pelajar sudah resah kerana tidak menerima biasiswa beberapa bulan dan mereka terpaksa membayar sewa rumah, makan dan lain-lain. Sambil memeluk erat beg yang berisi wang ratusan juta rupiah saya terus berdoa agar kami selamat sampai ke Bandung dan mengagih-agihkan wang yang diperlukan oleh pelajar-pelajar kita di Bandung. Alhamdulillah, kami sampai dengan selamat dan resahan pelajar pada masa itu dapat diredakan.

Episod-episod lain akan muncul kemudian, jika ada teman-teman lain yang bersama saya pada masa itu dan ingin berkongsi cerita saya amat alu-alukan.